BM | EN | 中文

Cabaran terbesar adalah untuk kembalikan keyakinan rakyat

lim-kit-siang.jpg

Gambar Ehsan FMT

Advertisement

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Cabaran terbesar kerajaan hari ini adalah untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam strategi dan pendekatan melawan wabak Covid-19.

Ahli parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata rakyat melihat layanan berbeza dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, di mana para menteri dan VIP boleh melanggar SOP selain keputusan bercelaru kerajaan.

“Menteri, Timbalan Menteri, dan para pemimpin politik tidak boleh bertindak seakan-akan mereka tidak sedar mengenai krisis kepercayaan kritikal yang sedang dihadapi dalam menguruskan wabak Covid-19 di negara ini,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Kata Kit Siang jangkaan Institut Kesihatan Kebangsaan bahawa Malaysia bakal mencatatkan 8,000 kes baharu Covid-19 setiap hari menjelang minggu pertama Mac, dan 10,000 kes sehari menjelang minggu kedua Mac akibat kadar jangkitan yang tinggi.

“Pada masa itu, jumlah kes terkumpul dalam negara akan melepasi paras 400,000 kes menjelang minggu kedua Mac, dan kita akan menjadi dalam kalangan 40 negara dengan jumlah kes tertinggi di seluruh dunia.

“Malaysia juga bakal mencatatkan sejarah hitam sebagai satu-satunya negara yang telah melonjak 45 kedudukan daripada tempat ke-85 pada 18 November 2020 kepada tempat ke-40 atau lebih tinggi lagi,” katanya.

Advertisement

Tambah beliau perkara itu adalah salah satu tafsiran terburuk janji Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk “menegakkan kedaulatan negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia” seperti yang dikatakan dalam Perutusan Tahun Baharu beliau.

Dengan penghantaran pertama vaksin Covid-19 dijadualkan pada 26 Februari, perkara ini bermakna program vaksinasi di Malaysia hanya akan bermula pada bulan Mac.

“Setakat hari ini, lebih daripada 101 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan di sekitar 64 buah negara di seluruh dunia.

Advertisement

“Memandangkan Malaysia berada di belakang negara lain, kita perlu bersedia untuk menyelesaikan cabaran logistik dan cabaran lain supaya tidak berhadapan sebarang masalah dalam memastikan kelancaran program vaksinasi di negara kita,” ujarnya lagi.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top