BM | EN | 中文

Bungkus seperti gula-gula, taktik sindiket edar dadah ‘Geng Halim’ di Johor

Datuk-Ayob-Khan-Mydin-Pitchay.jpg

JOHOR BAHRU, 18 OGOS: Membungkus dadah menyerupai gula-gula adalah antara taktik terbaharu yang digunakan oleh satu sindiket penyeludupan dadah di Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata taktik itu dikesan digunakan oleh sindiket dikenali sebagai Geng Halim yang cuba menyeludup masuk ganja menyerupai gula-gula ke dalam sebuah pusat tahanan reman.

Beliau berkata taktik berkenaan yang biasanya digunakan oleh sindiket antarabangsa, pertama kali dikesan digunakan oleh sindiket tempatan di negeri ini.

“Ini taktik terbaharu yang mereka gunakan untuk cuba seludup masuk ganja ini ke dalam pusat tahanan reman. Mereka balut ganja mampat dalam bungkusan menyerupai gula-gula atau coklat, jadi bila berjumpa, banduan ini dipercayai telan gula-gula ini dan kemudiannya mengeluarkannya semula melalui najis untuk diedarkan dalam pusat berkenaan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Selain diedarkan ke pasaran tempatan, Ayob Khan berkata geng yang dipercayai aktif mulai awal 2019 itu juga turut dipercayai mengambil bekalan dadah di Kuala Lumpur dan turut menggunakan sebelah Pantai Barat Johor untuk menyeludup keluar dadah ke negara jiran, Indonesia.

“Kita telah menahan 23 suspek menerusi 22 serbuan berasingan di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pontian dan Kota Tinggi dipercayai terlibat dengan geng berkenaan antara 11 Ogos sehingga semalam.

“Kesemua mereka terdiri daripada 17 lelaki tempatan, empat wanita tempatan, seorang wanita warga Indonesia dan seorang wanita warga Vietnam berumur antara 31 hingga 50 tahun,” kata beliau.

Ayob Khan berkata hasil saringan air kencing juga mendapati 19 positif dadah jenis methamphetamine dan ketamine manakala 20 suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Pihak kami merampas sebanyak 14.037 kilogram ganja, 6.84 kilogram heroin, 1.58 kilogram syabu, 44.31 gram ketamine dan 400 biji pil yaba.

“Turut disita pelbagai barangan kemas, 22 kenderaan (kereta dan motosikal), wang tunai, sepucuk revolver bersama sembilan butir peluru hidup serta tiga akaun bank tempatan milik tiga individu dipercayai daripada hasil kegiatan pengedaran dadah,” katanya.

Menurutnya lagi, jumlah nilai rampasan dan sitaan adalah bernilai RM728,146.98.

Kesemua suspek direman selama 14 hari mulai semalam untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top