BM | EN | 中文

BUKAN MELAYU SAHAJA ADA TULISAN JAWI

JAWI.jpg
Advertisement

Tulisan Jawi yang kita kenal biasanya merujuk kepada tulisan menggunakan huruf Arab dengan penambahan enam huruf lain sesuai dengan penggunaannya dalam Bahasa Melayu.

Ia berkembang ketika tamadun Islam berada dalam era kegemilangannya bukan sahaja di Tanah Melayu malah di sebahagian besar dunia dari abad kelapan sehingga awal abad ke-17.

Bagi sesetengah mereka yang melihat tulisan Jawi sebagai suatu yang asing, pasti dia menganggapnya sebagai tulisan Arab yang dibaca dalam Bahasa Arab. Amat rugi buat anak watan Malaysia sekiranya perkara ini terjadi, sedangkan inilah warisan sejarah kita yang pernah digunakan dalam melahirkan cerdik pandai dalam pelbagai ilmu dan urusan hubungan antarabangsa.

Advertisement

Ini tidak pelik bagi sesetengah negara lain yang mendapat pengaruh yang sama dari tamadun Islam. Mereka juga telah mengadaptasi tulisan Arab menjadi tulisan ‘jawi’ mereka sendiri. Tulisan saya kali ini menyebut tulisan jawi mereka bagi memudahkan kita faham. Tulisan ‘Jawi’ itu yang sebenarnya hanya merujuk kepada alam Melayu berdasarkan kata “al-Jawah” yang disebut dalam catatan Arab merujuk kepada gugusan kepulauan kita.

Mari kita tengok sedikit tulisan jawi negara lain yang mempunyai keunikan mereka tersendiri. Kita mulakan dengan Afrika Barat seperti di Senegal, Gambia, Guinea-Bissau, Guinea, Mauritania, Mali, Niger, Ghana, Nigeria, and Cameroon.

Tulisan jawi mereka dikenali sebagai tulisan “Ajami” yang ditulis dalam Bahasa Hausa. Bahasa ini masih menjadi lingua franca untuk perdagangan di kawasan Afrika Barat, namun tulisan Latin telah mengambil alih peranannya setelah penjajahan berlaku.

Advertisement

Dianggarkan sekitar 700,000 buah manuskrip bertulisan Arab dan Ajami dipercayai disimpan sebagai koleksi peribadi masyarakat di Timbuktu, Mali. Kebanyakan manuskrip telah musnah sewaktu al-Qaeda bermaharajalela pada tahun 2013.

Mujurlah Abdel Kader Haidara dan pasukannya sempat membawa lari 350,000 manuskrip sekitar Timbuktu untuk disembunyikan di Bamako, jauh daripada zon pengaruh al-Qaeda. Kini manuskrip itu dipulihara di perpustakaan peribadinya, Perpustakaan Mamma Haidara.

Kalau di Afrika Selatan, Cape Town cukup terkenal dengan pengaruh pendakwah Melayu, Syeikh Yusuf al-Makassari yang dibuang negara oleh Belanda. Dari situ berkembanglah pula petempatan Melayu termasuklah tulisan Jawi sebagai alat yang digunakan untuk menimba ilmu.

Advertisement

Professor Hein Willemse telah mengkaji manuskrip lama di daerah Bo-Kaap dengan menterjemahkan tulisan jawi tempatan dalam dialek lama bahasa Afrika iaitu “Arabiese Afrikaans”. Beliau menyatakan bahawa komuniti hamba (merujuk kepada para imam dalam buangan) di Bo-Kaap telah menulis tulisan ini seawal 1820-an.

Bahasa Melayu sebelum itu menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah agama di Bo-Kaap. Namun, pada 1815, bahasa Afrikaan diperkenalkan bagi menggantikan Bahasa Melayu. Tulisan pertama yang didapati dalam sejarah pendidikan Islam di sana ialah tulisan jawi Arabiese Afrikaans. Professor Hein juga percaya tulisan ini dikembangkan oleh para imam Melayu.
Mari kita tengok pula tulisan jawi di Turki yang disebut “Osmanlıca”. Tulisan ini digunakan oleh Dawlah Osmaniyyah sepanjang era pemerintahan mereka dalam Bahasa Turki. Bayangkanlah berapa banyak manuskrip lama yang dicatat menggunakan tulisan Osmanlıca wujud dari kurun ke-13 hingga kurun ke-20.

Setakat 2015, Perpustakaan Negara Bulgaria telah mengumpulkan 160 sijil, 1000 buku log, 1 juta dokumen dan surat-surat wakaf yang tidak terbilang bertarikh antara kurun ke-15 hingga kurun ke-20 dalam tulisan Osmanlıca.
Sebagai khilafah Islam terakhir dalam sejarah dunia, sebelum kemunculan era penjajahan, sudah tentu khazanah ilmu banyak tersimpan di Turki dan negara-negara berhampiran.

Advertisement

Kebanyakan manuskrip yang bertulisan jawi bukan sekadar berkaitan ilmu agama. Banyak juga bidang lain seperti pertanian, perubatan, undang-undang, sains dan teknologi, fisiologi, psikologi dan lain-lain. Semua bidang ini telah berkembang maju dalam zaman kegemilangan Islam tanpa polisi eksklusif kepada orang Islam sahaja untuk mempelajarinya.

Berbalik kepada tulisan Jawi kita, tidakkah kita tahu yang kita juga mempunyai ribuan manuskrip Melayu yang masih tidak dibaca mahupun dikaji. Ia bukan sekadar berada dalam rantau alam Melayu, ia juga disimpan oleh para penjajah yang membawa balik ke negara masing-masing.

Sebahagian yang telah dikaji ialah Kitab Tib yang mencatatkan tentang kaedah perubatan Melayu menggunakan ramuan rempah dan pokok herba untuk merawat penyakit seperti sembelit, sengugut dan meroyan. Begitu juga dengan Hukum Kanun Melaka membentangkan undang-undang yang mengatur masyarakat dan pentadbiran negara.

Advertisement

Perpustakaan Tanoh Abee atau yang disebut juga Zauyah atau Tanoh Abee di Aceh yang wujud sejak abad ke-16 banyak menyimpan manuskrip-manuskrip lama ilmu Fekah, ilmu Tasawuf, ilmu Ibadah, ilmu Penciptaan Alam Semesta dan pelbagai disiplin ilmu lain.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) kini telah berjaya mengesan 20,000 manuskrip berkaitan ketamadunan Melayu dan hanya 4,884 sahaja naskah asal yang disimpan di PNM. Selebihnya ada di Rusia, Algeria, selain di Jerman.

Sayang sekali apabila tulisan Jawi dipandang lekeh dan kolot sedangkan khazanah ilmu yang menanti untuk digali cukup banyak di dunia ini. Tidak salah kita menggunakan tulisan Latin untuk menimba ilmu dalam dunia moden hari ini. Namun jangan dilupakan setidak-tidaknya demi menggali khazanah keunggulan tamadun bangsa dan negara, kuasailah semula tulisan Jawi.

Advertisement

 

RUJUKAN
https://www.nationalgeographic.com/news/innovators/2014/04/140421-haidara-timbuktu-manuscripts-mali-library-conservation/
http://content.time.com/time/magazine/article/0,9171,1924486,00.html
https://www.iol.co.za/capeargus/news/arabic-roots-of-afrikaans-laid-bare-in-new-book-18631473
http://hazine.info/national-library-bulgaria/

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top