JOHOR BAHRU, 12 OGOS: Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka pada 1 September ini dilihat seperti memperjudikan nyawa pelajar dan guru.
Bendahari Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata tindakan itu membahayakan nyawa rakyat ketika pandemik Covid semakin menular.
“Kenapa KPM masih berdegil untuk meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka 1 September 2021 sedangkan kes Covid 19 makin meningkat setiap hari dan sekarang mencecah 20 ribu kes.
“Malaysia belum mencapai imuniti kelompok yang sepatutnya ke arah memberangsangkan dan meyakinkan.
“Hampir kesemua pelajar belum mengambil vaksin. Ini mendedahkan mereka dengan Covid-19 yang mampu membuatkan kes harian terus meningkat.
“Guru juga belum capai 80 peratus yang telah divaksin. Ini juga akan mendedahkan kepada Covid 19,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Zuhan lagi, keputusan KPM sebelum ini menimbulkan pelbagai kesan ketika pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka Mac lalu.
“Pembukaan sekolah sebelum ini menyebabkan pelbagai kluster seolah-olah tidak diambil maklum oleh Menteri KPM, Radzi Jidin.
“Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham juga hari-hari menyatakan Malaysia sekarang terdedah dengan varian Delta.
“Penyebaran Covid-19 kali ini lebih mudah dan cepat. Adakah menteri tidur dan tidak fikir apa akan terjadi jika sesi persekolahan bersemuka dibuka walaupun secara berperingkat.
“Semalam NUTP menggesa tangguh buka persekolahan. Mereka menyatakan sesi persekolahan hanya tinggal 10 minggu sahaja dan sesi ini boleh diteruskan secara PdPR.
“Saya juga menyarankan agar Menteri Pendidikan menangguhkan pembukaan sekolah secara bersemuka dan mencari alternatif lain untuk memantau lebih dekat pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar seperti SPM dan STPM pada sesi ini,” ujarnya lagi.
Johorkini