BM | EN | 中文

[BUDAYA] ‘Pulih’, respon kerosakan alam akibat kerakusan manusia

wak-kang.jpg
Advertisement

Oleh : Iltizam Iman

Pulih, ada sebuah kritikan sosial yang merespon terhadap isu kerosakan alam yang disebabkan oleh kerakusan manusia. Mengajak penonton untuk merenung kembali perbuatan-perbuatannya sebagai satu spesis, atau masyarakat. Juga sebuah pelawaan untuk memulihkan kemanusiaan yang telah terseleweng kepada nilai dan tujuan asalnya. Yang meyakini pemulihan dapat berlaku jika rasa belas kasih yang terdapat dalam setiap jiwa dihidupkan semula. Kerana melalui rasa belas kasih, manusia akan menyedari bahawa setiap sesuatu yang wujud mempunyai fungsinya tersendiri yang tidak boleh diperlakukan sesuka hati. Sebelum kita pergi lebih lanjut dengan ulasan ‘Pulih’ ini, ada baiknya jika kita memahami dahulu secara ringkas apa itu seni persembahan.

Seni persembahan, atau sering dipanggil performance art, lahir dari rentetan sejarah dalam perkembangan Seni Rupa. Ia adalah satu bentuk karya yang unik, abstrak dan memiliki unsur perlambangan yang mendalam. Berfungsi sebagai kritikan sosial yang mencerminkan keadaan masyarakat ketika itu. Bentuk seni persembahan pula lebih luas, tidak terikat dengan teknik-teknik yang spesifik seperti seni lakon atau seni muzik. Keutamaan yang diangkat dalam seni persembahan adalah penghayatan seniman dalam menyampaikan maksud-maksudnya, menggunakan tubuh badan sebagai medium utama.

Advertisement

Secara teknikal, seni persembahan adalah seni merespon dan mempunyai beberapa ciri-cirinya yang tersendiri. Bentuknya akan sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan. Ada yang bertindak balas dengan suasana, melalui interaksi dengan penonton, atau ruang. Ada yang menggunakan masa, dengan mengambil jangka waktu tertentu. Ada juga yang menggunakan seni persembahan sebagai ritual, disiplin terapi bagi menangani sesuatu penyakit atau permasalahan. Maka, kita boleh simpulkan seni persembahan itu tidak sepenuhnya tentang seniman, tetapi berkait rapat dengan masyarakat, keadaan, suasana, ruang dan waktu.

Pengisian Pulih jelas mengandung pesanan-pesanan yang dalam demi alam dan kemanusiaan. Oleh kerana sifat seni persembahan itu sendiri adalah abstrak, bermain dengan simbol dan perlambangan, maka ulasan ini tidak dapat mewakili suara dan maksud sebenar artis. Jika para pembaca mahu jelas memahami ulasan ini, ada baiknya jika ditonton terlebih dahulu rakaman siaran langsung Pulih yang disertakan bersama di sini.

Tajuk: Pulih
Artis: Wak Kang
Media: Seni persembahan
Durasi: 30 min
Lokasi: Bandar Baru Kangkar Pulai, Johor
Medium penyampaian: Siaran Langsung di Laman FB Terang (Temasya Rangkaian)

Advertisement

Melalui nilai-nilai metafora, artis melambangkan dirinya sebagai sifat kemanusiaan itu sendiri yang punya sisi terang dan gelap, melalui pakaian serba putih dan hitam. Menggunakan bola angin yang bercorak peta dunia, sebagai simbol kepada bumi kita. Bunga, dedaun dan pokok sebagai unsur-unsur alami yang punya hubungan secara langsung dengan sifat kemanusiaan. Kerusi roda, bermaksud tempat kebergantungan yang mati setelah sumber pelindungan asal iaitu alam, telah dimusnahkan oleh tangan manusia sendiri. Air, menjadi lambang kepada asas pemulihan.

Gelanggang dibuka dalam keadaan serba putih, memperlihatkan asas kemanusiaan yang memiliki dasar kesucian. Manusia dihidupkan atas dakapan kasih alam, membuatkan segala yang berpotensi untuk hidup, menghidup. Seterusnya mewujudkan rangkaian ekosistem yang sempurna sehingga kemanusiaan itu dapat berdikari atas kakinya.

Tetapi malang, atas keunikan kehendak bebasnya, telah menjadikan mereka angkuh. Mereka mengeksploitasi alam bagaikan merekalah tuan. Dalam keadaan yang mengenepikan hakikat alam yang memerlukan proses teramat panjang sebelum dapat melahirkan manusia. Untuk selamanya, alam telah memberi tempat teduh, makanan dan ruang yang cukup untuk semua.

Advertisement

Kemajuan peradaban dan kesempurnaan yang cuba dicapai akhirnya dikaburi oleh sifat-sifat tamak yang melangkaui batas. Kemusnahan alam terjadi sehingga ke peringkat global. Kerakusan manusia dalam merangsang pertumbuhan ekonomi telah mengakibatkan penderitaan. Bukan penderitaan bagi masyarakat terpinggir sahaja, malah penderitaan bagi haiwan, tumbuhan dan alam sekitar. Pekerja, haiwan dan alam, sudah menjadi tidak lebih dari sekadar modal untuk menjana kekayaan.

Manusia cuba menakluk bumi dengan menggandakan jumlah pengeluaran. Manusia cuba memperhambakan spesisnya sendiri dengan segala tipu daya pemasaran untuk mempertingkatkan kadar penggunaan. Permintaan dan pengeluaran telah menjadi tujuan utama pembangunan dunia moden, bukan lagi penerokaan nilai kemanusiaan yang sejati. Ketidakstabilan ekosistem yang disebabkan oleh tangan manusia telah melahirkan panyakit-penyakit baru yang menyerang kesihatan tubuh dan juga mental.

Kesannya, sekarang ini kita terpaksa berhadapan dengan pandemik. Kesannya, Harimau Malaya yang menjadi kemegahan hanya tinggal sebagai lambang yang amat memalukan. Ini belum dikira masalah-masalah pencemaran dan kepupusan. Kerana jelas, perbuatan kita sebagai satu spesis tidak direstui alam.

Advertisement

Melalui Pulih, artis mengajak kita untuk bermuhasabah atas segala perbuatan sebelum ini. Mengajak kita sebagai satu spesies untuk kembali memulihkan kehidupan. Bukan sekadar menangani pandemik, tetapi juga pemulihan terhadap tujuan dan nilai kemanusiaan itu sendiri.

Kemanusiaan yang pada mulanya menyarung baju kesucian yang serba putih, telah bertukar gelap dan hitam. Bumi yang luas telah dikecut-sempitkan oleh nafsu-nafsu ketamakan. Sehingga nilai kemanusiaan itu patah kaki, terpaksa bergantung harap terhadap sesuatu yang tidak lagi organik. Membuatkan mereka berkerusi roda untuk memastikan sifat kemanusiaan ini terus bergerak.

Melihat sebuah karya cerminan kemanusiaan yang sedang “patah kaki” ini, ia sangat berkait rapat dengan keadaan negara kita; di mana iklim tropika ini pada awalnya memberikan kita kehidupan dalam keadaan yang serba mewah, tetapi telah dimiskinkan demi kepentingan sesetengah pihak.

Advertisement

Tanah nusantara adalah sebuah berkat yang dilimpahi buah-buahan dan rempah ratus, tetapi sekarang hanya dimonopoli kelapa sawit. Musang King tidak lama lagi. Bukankah kita boleh katakan, iklim tropika ini sedang patah kaki ditimpa bala kemusnahan? Dan bukankah kita boleh kata, kelapa sawit yang dikempenkan sebagai anugerah Tuhan itu adalah satu contoh tipu daya pemasaran? Ketamakan yang kita dapat lihat dari selatan ke utara inilah yang harus dipulihkan.

Sama ada begini pengakhiran kita; dalam keadaan terus menerus meratah, mentarah, sehingga segala-galanya musnah, atau kita dapat melakukan pemulihan, pemuliharaan dan mencipta pengakhiran yang lebih baik. Kerana jika sekarang ini kita lihat manusia itu mempunyai kemampuan yang teramat besar untuk mencipta kerosakan, maka kita harus sedar manusia ini juga mempunyai kemampuan yang teramat besar untuk mencipta kebaikan. Tetapi sebelum itu, kita harus mencari jalan bagaimana untuk memulihkan kemanusiaan ini, bagaimana untuk memulihkan diri sendiri.

Mungkin segala kerosakan dan bala yang menimpa sekarang, adalah satu keperluan buat umat manusia. Kerana manusia bukanlah satu spesis yang naif, yang tiada kehendak bebas. Manusia bukanlah makhluk yang berbuat baik, kerana tidak mengenali erti jahat. Sebaliknya juga, bukanlah makhluk yang berbuat jahat, kerana tidak mengenali erti baik. Tetapi untuk benar-benar melaksanakan kebaikan, manusia pertama-tama sekali harus mengenal kemampuannya untuk berbuat jahat. Untuk mengetahui sesuatu itu jahat, ia haruslah mengenali apa itu kebaikan. Dalam kata lain, kebaikan hanya wujud setelah kejahatan berada di bawah pengawalan.

Advertisement

Manusia tidak pernah terlepas dari kesilapan. Kesilapan adalah guru yang mengajarkan makna kehidupan, walaupun pelajarannya berlaku melalui pengorbanan yang teramat berat. Tetapi hendak bagaimana lagi? Keselesaan dan keselamatan yang telah diberi alam sejak mula telah menjadikan manusia lupa. Manusia tidak mampu belajar dengan sesungguhnya dalam keadaan yang mewah dan selesa. Maka, manusia memerlukan kesusahan, kesilapan, untuk menuju kesempurnaan.

Proses pemulihan itu bermula melalui penyucian diri sebelum meletakkan kesalahan di sana sini. Ia harus membersihkan derianya dari segala potensi kekotoran yang ada, agar kekeliruan dan penyelewengan jiwa sedikit sebanyak dapat dihindari. Ini ditunjukkan bagaimana artis menghidu bauan dedaun dan bunga-bungaan.

Apabila sifat sejati kemanusiaan itu kembali sedar di mana kedudukan dan fungsinya yang sebenar, ia telah menggenggam benih kehidupan yang berpotensi untuk semakin menghidupkan. Manusia tidak lagi dipertanggungjawabkan untuk menanggung derita kemusnahan, tetapi dipertanggungjawabkan pula untuk menyemai kehidupan.

Advertisement

Seperti mana artis mengusulkan penjagaan alam itu dapat dilakukan dengan menanam pokok, kita dapat lihat kehidupan ini adalah anugerah yang boleh diumpamakan seperti tanaman; tidak boleh diperlakukan sambil lewa. Walaupun kehidupan adalah anugerah, sebuah hadiah, ia harus dijaga dengan penuh disiplin dan berhati-hati. Manusia harus sentiasa menjaga dirinya dari potensi kekotoran dan kejahatan jiwa yang mampu menghancurkan diri dan persekitaran.

Apabila artis mencuci wajahnya, ianya menjadi simbol kepada pembersihan pandangan, penetapan prinsip dan penjagaan perspektif. Mencuci tangan, merujuk kepada penyucian kuasa, mengembalikan kuasanya kepada tujuan asalnya agar selari dengan kehendak-kehendak alam. Mencuci kedua belah kaki, memaksudkan pembersihan langkah agar perjalanan kemanusiaan itu dapat selari dengan tujuan-tujuan penciptaan.

Selesai proses-proses penyucian tersebut, kemanusiaan kembali putih, bersih. Walaupun itu bukan bermaksud tiada lagi potensi untuk kembali korup. Hanya hubungan antara alam dan manusia itu kembali seimbang. Sejujurnya seni persembahan Pulih ini amat menyentuh hati saya, sehingga membuatkan saya menitiskan air mata sewaktu beliau menanam dan menyiram anak pokok sebagai usul bagaimana kita (manusia) dapat memulihkan dunia. Bagaimana kita dapat menjaganya.

Advertisement

Setidaknya dengan mengangkat nilai belas kasih, ia dapat merangsang kita untuk membangunkan sebuah ekosistem yang bersifat saling menyokong, dan bukanlah rantai makanan atau hierarki ekonomi yang saling bersaing dan memperalatkan satu dengan yang lain.

Iltizam Iman merupakan penulis yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Beliau telah menerbitkan sebuah buku berjudul “Menolak Perintah : Catatan dan Esei Mencari Nafas Pembebasan”.

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top