BM | EN | 中文

“Bubar DUN selari aspirasi rakyat Johor”

annuar-musa-BN.jpg

JOHOR BAHRU, 29 JAN: Tindakan kerajaan Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), dilihat selari dengan aspirasi rakyat negeri itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata ia dapat dilihat menerusi kajian dan analisis sentimen rakyat, yang dilakukan kementerian menerusi pelbagai platform.

Beliau berkata menerusi kementeriannya, kerajaan pusat juga menggunakan teknologi untuk membuat analisis sentimen secara harian.

“Analisis sentimen rakyat memang kita lihat, supaya kerajaan berbuat sesuatu yang selaras dengan kehendak dan aspirasi rakyat.

“Di Johor, apa yang Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) lakukan macam saya katakan tadi, indikator analisis sentimen menunjukkan ia (PRN Johor) selari dengan aspirasi rakyat,” kata beliau.

Justeru, Annuar yakin bahawa masyarakat Johor akan menyempurnakan hak mereka dalam PRN akan datang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama pemimpin masyarakat negeri ini, yang turut dihadiri Hasni dan pemimpin lain.

Annuar, yang juga Ketua Umno Bahagian Ketereh itu turut menyatakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Hasni, untuk menerajui kerajaan negeri dengan mandat baru.

“(Keyakinan terhadap) kepimpinan Hasni, saya nyatakan berdasarkan pengalaman dan pemerhatian,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Annuar berkata kepimpinan Hasni tidak boleh dinafikan berdasarkan ‘track record’ beliau.

“Track record ditunjukkan Hasni dalam memimpin kerajaan negeri telah terbukti, sehingga diterima baik bukan sahaja oleh Istana Johor, tetapi rakyat Johor.

“Jadi saya berharap beliau akan kembali memimpin kerajaan negeri dengan mandat yang lebih besar daripada rakyat dalam PRN akan datang,” katanya.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top