BM | EN | 中文

Boyan Bantu Pulihkan Pencemaran Plastik

pencemaran-plastik-01-scaled.jpg
Advertisement

Boyan Slat yang baru berusia 25 tahun telah mengimpikan agar lautan di dunia ini bebas daripada pencemaran plastik. Menjelang tahun 2025, Boyan mensasarkan 1,000 batang sungai paling tercemar di dunia dapat dipulihkan.

Bagi syarikat inovasi sosialnya, The Ocean Cleanup, sungai-sungai tercemar perlu ditangani terlebih dahulu bagi memastikan lautan di dunia bebas pencemaran plastik.

Tugas ini dilaksanakan oleh mesin automasi ciptaannya yang berfungsi menggunakan tenaga solar sepenuhnya untuk menyaring bahan-bahan tercemar di sungai daripada mengalir ke laut.

Advertisement

Mesin yang dikenali sebagai “The Interceptor” kini berada di Sungai Klang sejak November lepas. Ia juga dilengkapi dengan hubungan internet yang membolehkan pengendalinya mengetahui status bahan tercemar yang sudah dikumpulkan untuk dipindahkan ke kawasan pelupusan atau kitar semula.

Menurut Forum Ekonomi Dunia, 8 juta tan plastik berada di lautan setiap tahun. Jika berterusan begini, laut akan dipenuhi dengan plastik berbanding ikan pada tahun 2050.

90 peratus plastik di lautan datang dari 10 batang sungai. Lapan daripadanya ialah sungai-sungai di Asia manakala dua lagi di Afrika.

Advertisement

8 juta tan plastik itu mewakili sekitar 40 billion botol plastik, 100 billion beg plastik, dan 522 juta bekas barangan dandanan diri.

270,000 tan daripada 8 juta tan itu adalah plastik-plastik yang terapung di permukaan laut. Bilangan ini menyamai 33,750,000 bola bowling, 135,000 kereta, 130,000 bot saiz sederhana, 1,225 gerabak kargo, atau 36,000 gajah dewasa.

Lebih menyedihkan apabila kajian mendapati 700 spesis haiwan laut kini pupus akibat daripada pencemaran plastik yang berleluasa.

Advertisement

Kita pasti masih ingat video tular mengenai penyu yang diselamatkan daripada batang straw plastik yang tersekat pada hidungnya. Itu hanya satu kes yang dapat diselamatkan berbanding 100,000 haiwan laut yang telah didapati mati akibat bergelut dengan sisa plastik.

Justeru, usah dipandang ringan kempen bebas plastik di pasaraya dan bebas straw di restoran sekitar Malaysia. Ia adalah salah satu daripada usaha mengurangkan kesan pencemaran plastik yang turut dilaksanakan oleh negara-negara lain.

Jika diteliti isu pencemaran plastik, ia sebenarnya berpunca daripada sikap manusia itu sendiri. Penghasilan produk plastik adalah untuk kegunaan manusia dan kerana sifat plastik yang sukar terurai, teknologi kitar semula telah diperkenalkan.

Advertisement

Seandainya masyarakat dan pihak berwajib berdisiplin dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kitar semula, pencemaran ini dapat dikurangkan.

Begitu juga dengan sikap membuang sisa plastik sewenang-wenangnya di tepi jalan, sungai dan tempat selain tong kitar semula menyumbang kepada pencemaran plastik ke dalam laut. Plastik yang ringan mudah dibawa angin dan kebanyakannya berakhir di sungai seterusnya ke laut.

Plastik biodegradasi adalah antara solusi yang cuba diperkenalkan bagi mengurangkan kesan pencemaran walaupun kos pembuatannya mencecah dua hingga sepuluh kali ganda berbanding plastik biasa.

Advertisement

Namun, hakikatnya sikap manusia itu adalah paling penting dalam memastikan kesejahteraan hidup manusia dan alam.

Impian Boyan adalah suatu yang jarang timbul dalam cita-cita individu. Apatah lagi sebagai seorang warga Belanda, dia sanggup memulakan usahanya bukan di negaranya iaitu di Jakarta, Indonesia sebelum meneruskannya di Klang, Selangor.

Sikap memikirkan kepentingan manusia dan alam sejagat seperti Boyan inilah seharusnya dimiliki oleh setiap warga dunia. Jika kita tidak mampu berbuat semaksima Boyan, cukuplah hanya dengan memastikan kita tidak membuang plastik di merata-rata tempat dan membawa beg sendiri untuk membeli-belah.

Advertisement

RUJUKAN
1) https://thethaiger.com/thai-life/top-10-most-plastic-polluted-rivers-in-the-world-2019
2) http://www.astroawani.com/video-malaysia/awani-review-boyan-slat-protecting-ocean-one-river-time-1818467
3) https://www.weforum.org/agenda/2018/06/90-of-plastic-polluting-our-oceans-comes-from-just-10-rivers/
4) https://homeguides.sfgate.com/biodegradable-materials-expensive-78496.html

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top