JOHOR BAHRU, 11 DIS : Empat mangsa dalam bot kargo yang dilaporkan karam Isnin lepas ditemui selamat dalam keadaan terapung dengan memakai jaket keselamatan di sekitar 5.3 batu nautika Timur Pulau Rupat, Indonesia, kira-kira 6 petang semalam.
Bot kargo tersebut dikendalikan oleh empat lelaki termasuk nakhoda yang kesemuanya warga Indonesia dalam lingkungan umur diantara 34 hingga 54 tahun.
Bot itu dengan tanda nama KM Bahari Indah 5 berdaftar di Indonesia ditemui oleh sebuah kapal dagang MT Sinar Marsela.
Perkara itu dimaklumkan Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Johor Bahru (MRSC Johor Bahru) yang telah menerima panggilan dari pihak Basarnas Pekan Baru.
Semalam, Maritim Malaysia menerusi MRSC Johor Bahru mengaktifkan Operasi Carilamat (SAR) bot kargo dengan tanda nama KM Bahari Indah 5, kira-kira jam 11 pagi.
Menurut Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid, aset dari Zon Maritim Batu Pahat (ZMBP) yang sedang melaksanakan operasi telah diaturgerakkan untuk mencari di sekitar laluan bot kargo tersebut.
“Selain itu, pencarian juga turut menggunakan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) iaitu radar yang ditempatkan di Area Control Centre (ACC Klang) bagi menjejaki kedudukan terakhir bot kargo tersebut.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada sebuah lagi bot kargo yang berlayar bersama KM Bahari Indah 5.
“Kedua-dua bot kargo telah keluar beriringan berlayar dari Dumai, Indonesia pada kira-kira jam 6 pagi (waktu Malaysia), 9 disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
KM Bahari Indah 5 terputus hubungan pada Isnin lepas kira-kira 3 petang setelah mengharungi ombak besar dan cuaca buruk ketika pelayaran di kedudukan lebih kurang 29 batu nautika barat daya Muar.
Aminuddin berkata, SAR dijalankan secara bersama dengan Badan SAR Nasional, Indonesia, Pekan Baru (Basarnas) dan turut dibantu oleh Jabatan Laut Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim.
“Bot KM Bahari Indah 5 di percayai telah karam akibat cuaca buruk dan justeru itu, SAR ditamatkan pada 7.10 malam tadi,” katanya lagi.
Justeru, beliau menasihatkan kepada orang ramai dan komuniti maritim agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan cakna dengan keadaan cuaca.
Sebarang kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.
JohorKini