BM | EN | 中文

Bot kargo disyaki lakukan aktiviti menangkap ikan ditahan

Gambar-Hiasan.jpg

Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU, 11 SEPT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu menahan sebuah bot kargo yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Terengganu, malam kelmarin..

Pengarahnya Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot kargo itu ditahan di lokasi 56 batu nautika dari Kuala Terengganu pukul 11.15 malam bersama enam kru warga Vietnam termasuk seorang nakhoda, semuanya berumur antara 27 dan 44 tahun.

Beliau berkata ketika diperiksa, manifesto kargo tidak dapat dikemukakan oleh nakhoda, manakala dokumen-dokumen lain seperti dokumen pengenalan diri yang dikemukakan juga didapati meragukan.

“Mengikut dokumen pendaftaran, bot kargo itu didaftarkan di Pelabuhan Mersing, Johor dan ia hanya dibenarkan beroperasi sekitar 10 batu nautika dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau sahaja, namun bot berkenaan telah masuk ke perairan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semaam.

Menurutnya siasatan lanjut turut mendapati bot kargo itu mempunyai pukat tunda, kira-kira satu tan ikan campur dan satu tan ikan baja.

Muhammad Suffi berkata kesemua yang ditahan bersama bot berkenaan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu, dekat sini untuk siasatan lanjut, dan ujian saringan COVID-19 yang akan dilaksanakan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, dan kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar dan Akta Perikanan 1985.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top