BM | EN | 中文

Bot karam, empat nelayan gadai nyawa enam jam terapung di laut

Empat-kru-bot-nelayan-tempatan-diselamatkan-setelah-dilanggar-kapal-dagang-di-perairan-Muar.jpg

Empat kru bot nelayan tempatan diselamatkan setelah dilanggar kapal dagang di perairan Muar semalam (Gambar Ehsan APMM)

Advertisement

MUAR, 11 OKT: Seorang tekong dan tiga kru bot nelayan menggadai nyawa dengan terjun ke laut dan terapung selama enam jam sebelum diselamatkan, selepas bot dinaiki karam, dipercayai akibat dilanggar kapal dagang dalam kejadian di perairan Muar malam tadi.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Goh Cheng Ho, 53 serta tiga krunya, Abdul Rahman Chia Abdullah, 55; Abd Rashid Salamat, 22 serta Johari Utoh, 38, diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kira-kira 11 pagi tadi.

Beliau berkata bot dinaiki kesemua nelayan tempatan itu dipercayai dilanggar kapal dagang kira-kira 11 malam tadi sebelum karam pada kira-kira 5 pagi yang menyebabkan kesemua nelayan bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan diri.

Advertisement

Kata Nurul Hizam, Maritim Malaysia menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan dari Maritime Rescue Co-ordinating Centre (MRCC) yang memaklumkan Vessel Traffic Service (VTS) Klang menerima panggilan kejadian orang jatuh laut di posisi lebih kurang 6.8 batu nautika Barat Daya Muara Sungai Batu Pahat, Johor.

Lanjutan itu, sebuah bot digerakkan bagi menyelamatkan nelayan terbabit selepas menerima maklumat mengenai kejadian.

“Setelah menerima laporan tersebut, MRSC Johor Bahru telah memaklumkan kejadian tersebut kepada Zon Maritim Batu Pahat dan FOB TLDM Batu Pahat.

Advertisement

“Sebuah bot telah diaturgerak ke lokasi bagi menyelamatkan orang jatuh laut tersebut,” katanya.

“Kesemua mangsa seramai 4 orang berjaya ditemui dan diselamatkan pada sekitar jam 11 pagi tadi.

“Kesemua mangsa juga telah dibawa ke jeti APMM Batu Pahat dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail bagi pemeriksaan kesihatan,” ujar beliau lagi.

Advertisement

Beliau meminta orang ramai yang berdepan sebarang kecemasan di laut agar menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian MERS 999 supaya tindakan segera dapat diambil.

Beliau turut menasihatkan orang ramai dan komuniti maritim agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut terutama ketika musim monsun ini, mengutamakan keselamatan dan cakna dengan keadaan cuaca.

Johorkini

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top