ISKANDAR PUTERI, 23 OGOS: Kebakaran melibatkan kira-kira 40 ekar kawasan hutan dan kebun di Kampung Pekajang di Gelang Patah sedang dibendung pihak bomba, menurut Adun Kota Iskandar Dzulkefly Ahmad.
Dzulkefly berkata, separuh kawasan kebakaran berjaya dipadamkan oleh pihak bomba.
“Strategi (bomba) membendung kebakaran daripada merebak dengan menggali batas parit dengan bantuan tiga jengkaut,” Dzulkefly berkata dalam satu kenyataan kepada Johorkini.
Terdahulu, beliau turut meninjau operasi mengawal kebakaran di sana yang telah masuk pada hari ketiga.
Adun Kota Iskandar itu juga berkata pihak bomba sedang bertungkus lumus mengawal kebakaran yang bermula 21 Ogos dari terus merebak ke kampung bersebelahan.
Sementara itu, faktor sumber air tanah yang terhad serta kemarau berterusan juga menyukarkan lagi operasi bomba memadam kebakaran.
Dzulkefly turut menambah isu ini akan dibincangkan Jawatankuasa Bencana Daerah Johor Bahru yang akan bersidang malam ini.
Johorkini