BM | EN | 中文

Bomba kenal pasti kawasan baharu berisiko banjir besar

banjir.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 30 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengenal pasti kawasan bukan lazim banjir namun berisiko menjadi lokasi banjir luar biasa di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata langkah itu penting sebagai persediaan untuk menggerakkan anggota dan logistik jabatan berkenaan supaya operasi menyelamat dapat dilakukan dengan pantas dan berkesan.

Katanya, persiapan luar jangka yang dilakukan jabatan berkenaan diambil selepas mengambil kira bencana banjir yang berlaku tahun lalu dan banjir kilat sejak kebelakangan ini.

Advertisement

“Kita sedang kenal pasti kawasan bukan lazim bencana banjir tetapi mampu berlaku banjir luar biasa seperti yang berlaku tahun lalu di Maran dan Kuala Lipis di Pahang dan Kota Tinggi, Johor.

“Maran dan Kuala Lipis sudah lebih 20 tahun tidak berlaku banjir besar namun tahun lalu, banjir di kawasan itu sangat luar biasa. Begitu juga banjir di Kota Tinggi, dengan beberapa kawasan yang sebelum ini hanya banjir biasa, namun tahun lalu ia menjadi luar biasa.

“Banjir kilat di Melaka minggu lalu juga berlaku bukan di kawasan hotspot banjir namun ia menjadi berbahaya dengan arus deras sehingga mengorbankan anggota JBPM Melaka, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, yang lemas dibawa arus deras di Kampung Sungai Putat.

Advertisement

“JBPM perlu kenal pasti dan memantau kawasan bukan ‘hotspot’ namun berkecenderungan berlaku banjir besar sebegini bagi membolehkan persiapan rapi dibuat dan bantuan dapat disalur segera selain memastikan penduduk kawasan berkenaan bersedia awal terhadap sebarang kemungkinan,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Johor, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis dan Timbalannya, Pauzan Ahmad.

Advertisement

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara akan mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan awal malam ketika fasa peralihan monsun bermula hujung September hingga pertengahan atau hujung Oktober ini.

MetMalaysia turut menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku sepanjang Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang akan bermula pada awal November ini hingga Mac tahun hadapan.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, JBPM sudah menyiapkan anggota dan aset logistik bagi menghadapi musim tengkujuh berikutan peralihan monsun Timur Laut.

Advertisement

“Bagi aset logistik, JBPM mempunyai 550 bot penyelamat, 800 lori pelbagai saiz dan pacuan empat roda selain lima helikopter yang sudah bersiap siaga.

“Kita akan menggerakkan anggota serta aset logistik dari negeri yang tidak terjejas banjir ke negeri terjejas sekiranya bantuan diperlukan.

“Unit Dron JBPM juga diarahkan sentiasa membuat pemantauan sama ada di kawasan hotspot banjir serta lokasi bukan lazim, supaya insiden banjir besar 2014 yang berlaku di Kuala Krai, Kelantan tidak berulang.

Advertisement

“Dalam insiden itu, terdapat mangsa banjir terperangkap kerana berada di kawasan jauh dan terpencil, sehinggalah diselamatkan dua hari kemudian. Kita tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top