JOHOR BAHRU, 12 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor tidak akan berkompromi dengan anggotanya yang terbabit ataupun mengamalkan rasuah.
Pengarahnya Datuk Yahaya Madis berkata siasatan secara menyeluruh akan dilakukan sekiranya terdapat laporan mengenai salah laku rasuah dalam kalangan anggotanya.
“Biasanya bila ada laporan kita akan buat siasatan tetapi setakat ini tidak ada lagi tindakan diambil dan kita tidak akan berkompromi dengan (penerima) rasuah, kalau kita terima aduan, kita akan buat siasatan menyeluruh di peringkat dalaman dan cadangan tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap mereka yang terbabit.
“Biasanya aduan yang diterima mengenai perlesenan, pemeriksaan bangunan dan sebagainya…kadang-kadang mereka tidak faham prosedur kita dan mereka adu kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat sekiranya ada penyelewengan mengenai kelulusan dan sebagainya.
“Namun setakat ini, belum ada apa-apa pendakwaan terhadap anggota bomba Johor,” katanya kepada pemberita selepas Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Bagi Pegawai Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor di sini semalam.
Pada majlis berkenaan, lebih 100 pegawai kanan dan anggota JBPM negeri melafazkan ikrar yang diketuai Yahaya.
Terdahulu, Bernama melaporkan Yahya sebagai berkata, program IBR merupakan satu daripada program JBPM Johor sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Balai Bilangan 2 Tahun 2019.
Hadir sama Pengarah SPRM Johor Datuk Norazlan Mohd Razali.
Antara inti pati mesyuarat itu ialah program ikrar rasuah termasuk ceramah pencegahan rasuah.
Bernama