BM | EN | 中文

Bomba Johor sanitasi tiga pintu masuk negeri bermula hari ini

bomba-sanitasi-covid-19-JBPM.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

JOHOR BAHRU, 28 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor akan melaksanakan operasi sanitasi awam secara berkala di tiga pintu masuk negeri bermula hari ini (28 Jan), menurut pengarahnya Datuk Yahaya Madis.

Beliau berkata proses sanitasi itu melibatkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

Katanya, operasi itu dilaksanakan selaras dengan permintaan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad yang mahu pihaknya melaksanakan sanitasi melibatkan laluan pintu masuk negeri berkenaan.

Advertisement

“Sebanyak 20 hingga 50 anggota bomba terlibat dalam proses sanitasi berkenaan. Operasi ini dilaksanakan berkala, sekurang-kurangnya seminggu sekali tetapi jika ada keperluan ia akan dibuat dengan lebih kerap.

“Lebih-lebih lagi kita lihat sekarang pihak Singapura minta pemandu lori jalani ujian calitan, jadi kawasan mereka lalui ini kita sanitasi terutama laluan lori keluar masuk,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses sanitasi awam di Pasar Borong Pandan, di sini semalam.

Yahaya berkata proses sanitasi itu bermula di LTAS, diikuti KSAB pada 29 Jan manakala CIQ pada minggu hadapan.

Advertisement

Pada 21 Jan lepas, Singapura mengumumkan semua pemandu lori kargo dan pengiringnya yang memasuki republik itu diwajibkan menjalani Ujian Rapid Antigen (ART) di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.

Sementara itu, Yahaya memaklumkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas sehingga 27 Jan, pihaknya telah melaksanakan sebanyak 2,575 sanitasi awam.

Katanya, sejak PKP fasa pertama hingga kini, tiada jangkitan COVID-19 melibatkan anggota atau pegawainya direkodkan ketika proses sanitasi awam dilakukan mahupun jangkitan di tempat kerja.

Advertisement

Berhubung banjir, beliau berkata JBPM Johor akan membuat permohonan kepada ibu pejabat JBPM untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 32 bot ringan untuk kegunaan anggotanya semasa bertugas menghadapi bencana alam itu.

“Pada masa ini, bomba hanya ada 34 bot alumunium saiz besar yang boleh memuatkan lapan orang. Bot ini hanya sesuai untuk meredah arus deras banjir di kawasan luas.

“Namun, kita masih tidak mempunyai bot-bot kecil dan ringan untuk digunakan contohnya semasa banjir kilat baru-baru ini. Bot-bot kecil dan ringan jenis fiber ini perlu untuk digunakan di kawasan taman perumahan dan kampung yang dilanda banjir kilat,” katanya.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top