BM | EN | 中文

Bola keranjang para sasar final APG Vietnam, emas edisi 2023

bola-keranjang-para.png

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Skuad bola keranjang berkerusi roda negara terpaksa ‘menundakan’ impian untuk meraih pingat emas Sukan Para ASEAN (APG) ke edisi 2023 ekoran kesuntukan masa untuk persediaan disebabkan penularan wabak COVID-19.

Ketua jurulatihnya, Lim Ming Lip berkata bagi edisi ke-10 di Vietnam (2021) nanti, pasukan negara meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke final sekali gus mempertahankan pingat perak yang diraih pada penganjuran di Kuala Lumpur 2017 (KL 2017).

“APG Vietnam sasaran kita untuk masa ini adalah final (peringkat akhir) namun, untuk edisi seterusnya pada 2023 di Kemboja, kita sasar emas. Tapi kalau di Vietnam boleh raih pingat emas, itu adalah bonus. Kita sekarang dalam misi memburu pingat emas APG.

“Secara logiknya, kita ada masa lebih kurang setahun lagi untuk persiapan namun persiapan yang tidak lengkap dengan ketiadaan pertandingan dalaman mahupun luar negara. Jadi untuk sasar emas tahun depan, agak sukar.

“Melainkan nanti jika COVID-19 sudah tiada dan aktiviti serta program sukan termasuk pertandingan boleh dijalankan seperti biasa, mungkin kita ada peluang cerah di Vietnam,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN), di Bukit Jalil, kelmarin.

Skuad bola keranjang berkerusi roda negara bersaing sejak 2005 namun sehingga kini masih memburu pingat emas pertama di APG.

Mengulas lanjut mengenai persiapan latihan pasukan kebangsaan, Lim berkata anak didiknya memulakan latihan sejak Julai lepas selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk mengadakan aktiviti sukan.

Katanya, program latihan yang sedang berlangsung kini berjalan lancar namun ketiadaan kejohanan mahupun pertandingan dalaman menimbulkan kerisauan.

Justeru, Lim bercadang untuk melakukan latihan sparing antara pasukan kebangsaan dengan bekas pemain kebangsaan bagi mewujudkan suasana pertandingan sebenar.

“Kita menyatakan kepada MSN untuk buat sparing, lebih kepada perlawanan rangsangan untuk atlet supaya rasa lain sikit, bukan sekadar latihan, kerana tiada langsung pertandingan untuk tahun ini,” katanya menambah perlawanan sparing itu akan diadakan pada hujung minggu melibatkan pengadil bertauliah yang akan mengikut piawaian pengadilan antarabangsa.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top