KUALA LUMPUR, 13 JUL: Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2020 pada kadar antara -2 hingga 0.5 peratus, menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata, unjuran ini mengambil kira kesan daripada permintaan global yang lemah, gangguan rantaian bekalan dan langkah kawalan COVID-19 pada peringkat global dan domestik.
“Ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 0.7% pada suku pertama tahun 2020, iaitu lebih baik daripada jangkaan kebanyakan pakar ekonomi meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi dan perdagangan global yang mencabar terutamanya disebabkan oleh pandemik COVID-19.
“Pertumbuhan yang perlahan ini berikutan aktiviti ekonomi yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020, bagi mengawal penularan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan Rubiah Haji Wang (Kota Samarahan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan kedudukan ekonomi semasa, prestasi pertumbuhan ekonomi negara dan kadar pengangguran masa kini.
Persidangan Dewan Rakyat hari ini merupakan persidangan penuh pertama sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan pusat pada Mac susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan beberapa wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) mengalih sokongan.
Sidang pagi ini akan bermula dengan sesi soal jawab, dengan ahli parlimen boleh bertanyakan soalan kepada kementerian kerajaan untuk mendapatkan penjelasan dan malum balas.
Johorkini