BM | EN | 中文

BN tidak ikut acuan PRN Melaka sepenuhnya di Johor – Zahid

Ahmad-Zahid-Hamidi-BN.jpg

IPOH, 3 FEB: Barisan Nasional (BN) tidak akan mengikut sepenuhnya acuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk formula pemilihan calon untuk menghadapi PRN Johor, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Di Melaka muka baru (calon) adalah 87 peratus dan berkelulusan tinggi lebih daripada 84 peratus manakala yang berumur 50 tahun ke bawah lebih 82 peratus tetapi acuan ini tidak akan digunakan di Johor kerana landskap politiknya berbeza,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datuk bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemegang amanah dan waris lot tanah Hutan Melintang di Kompleks Umno Bagan Datuk di Sungai Sumun di Bagan Datuk semalam.

Menurut Ahmad Zahid, BN yang akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menampilkan calon boleh menang, disukai dan diterima pengundi di kawasan ditandingi pada PRN Johor.

“Bagi calon daripada Umno saya telah meminta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor (Datuk Hasni Mohammad) berunding dengan kesemua Ketua Umno Bahagian untuk menentukan sebarang calon,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno.

Mengenai agihan kerusi dalam kalangan parti komponen BN, Ahmad Zahid berkata Umno, MCA dan MIC mempunyai panduan mengenai perkara itu namun kerusi yang dahulunya ditandingi parti Gerakan (pada Pilihan Raya Umum ke-14) akan diambil alih semula sesama komponen BN.

PRN Johor diadakan apabila DUN dibubarkan selepas diperkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar setelah baginda menerima menghadap Hasni di Istana Bukit Serene, Johor pada 22 Jan lepas.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan pula 27 kerusi daripada 56 DUN.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top