BM | EN | 中文

BN tidak guna ‘calon kabel’ untuk PRN Johor

BN-PRN-Johor.jpg

Gambar Ehsan FB Hasni Mohammad

ISKANDAR PUTERI, 6 FEB: Barisan Nasional (BN) tidak akan mengemukakan ‘calon kabel’ sebagai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, sebaliknya akan memilih calon terbaik.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan perlu dilakukan dengan memillih calon terbaik sama ada daripada orang muda, wanita atau mereka yang berpengalaman di dalam parti.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan, pemilihan calon ini cukup penting bagi membolehkan kemenangan mutlak dapat dicapai BN di Johor, sekali gus membuktikan kebangkitan parti yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“BN tak perlu calon kabel tetapi calon perlulah ada ciri ‘wali’ iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) dan ‘likeable’, (disukai).

“Justeru itu, BN perlu lakukan perubahan dengan menampilkan calon terbaik yang tidak menggunakan ‘kabel’ bagi memastikan kebangkitan parti.

“Insya-ALLAH, saya, pemimpin UMNO dan BN bersama pemimpin Johor akan tentukan calon terbaik supaya perubahan dapat dilakukan di Johor dengan kita mencapai kemenangan lebih besar,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Wilayah Johor Barat di Stadium Tertutup Educity, di sini Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Pengarah PRN Johor serta Pengerusi BN Johor merangkap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Ketua Penyelaras PRN Johor.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga sudah memaklumkan kepada Hasni supaya berunding dengan ketua-ketua bahagian supaya dapat menampilkan calon terbaik.

“Ketua bahagian saya tahu tak akan calonkan nama sendiri. Pengundi muda ramai, calonkan calon muda.

“Pengundi wanita juga ramai, jangan lupa calonkan ramai calon wanita. Orang lama pun ramai, maka calonkan juga mereka.

“Kita mahu BN menang besar, maka lakukan perubahan terutama dalam pemilihan calon,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, manifesto BN sedang diteliti bagi memastikan hanya yang terbaik akan dikemukakan kepada pengundi di Johor.

“Saya yakin walaupun manifesto ini nanti bukan kitab suci namun ia mampu dilaksanakan dan bukan janji palsu.

“Saya akan pastikan dan pantau segala janji yang kita kemukakan dalam manifesto BN wajib dilaksanakan,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top