SEGAMAT, 9 MAC: PAS dijangka menangguh pemilihan kerana atas faktor gerakan menyingkir Presidennya, Dato Seri Abdul Hadi Awang, kata ahli jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Azhar Ismail.
Menurut Azhar, gerakan digelar sebagai ‘geng Ustaz’ dan ‘Publika’ dikatakan sedang bersaing dengan setiap pihak berusaha menyingkir serta mempertahankan Abdul Hadi.
“PAS takut sebab mereka tak mahu perpecahan berlaku di dalam parti itu sekali lagi bila ada gerakan ‘geng Ustaz’ dan ‘publika’ yang agresif dalam menyusun strategi.
“Apa nak takut kalau pemilihan itu berjalan dengan lancar. Ini antara sejarah baharu dalam PAS yang terpaksa berhadapan dengan sengketa sesama mereka.
“Kita tengok sahaja apa yang berlaku. Asas untuk tunggu sehingga PRU-15 hanya alasan untuk parti itu berdalih sama seperti dalih mereka terhadap RUU 355,” katanya kepada wartawan.
Kata Azhar, PAS juga hari ini sudah terpecah kepada dua kumpulan akibat pemimpin mereka yang keliru dalam membuat keputusan kerjasama politik.
Tambahnya, ada golongan atau kumpulan pimpinan PAS yang mesra kepada Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Perpecahan berlaku dalam PAS dan wujud sekurang-kurangnya dua ‘team’, satu pro MN dan satu lagi pro PN.
“Itulah ketakutan yang berlaku dalam PAS sehingga mereka dilihat takut membuat pemilihan.
“Kalau tak ada apa dalam parti itu, buatlah pemilihan bukan tangguh selepas PRU-15,” katanya lagi.
Johorkini