BM | EN | 中文

Bicara kes pecah amanah Najib-Irwan Serigar September tahun depan

Najib-Irwan.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berhubung enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion akan bermula pada September 2021 dengan pendakwaan dijangka memanggil 50 saksi.

Keputusan itu yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin di sini hari ini bertujuan memberi laluan kepada perbicaraan dua kes jenayah yang membabitkan bekas perdana menteri tersebut selesai.

Hakim menetapkan tarikh baharu itu selepas membenarkan permohonan peguam Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib, untuk melapangkan semua tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada tahun ini di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Advertisement

“Datuk Seri Najib ketika ini sedang menghadapi dua perbicaraan iaitu kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan laporan audit, masing-masing di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Pada hari sama perbicaraan bagi kes ini yang dijangka bermula pada 9 Nov depan, Datuk Seri Najib sedang menjalani perbicaraan 1MDB yang tarikhnya telah ditetapkan hingga Jun 2021,” katanya.

Muhammad Jamil menetapkan tarikh perbicaraan baharu selama 32 hari pada setiap hari dalam bulan September dan Oktober 2021, kecuali hari Jumaat.

Advertisement

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd Saad memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan dijangka memanggil 50 saksi pada perbicaraan itu.

Saiful Hazmi juga memberitahu kes tersebut telah dipindahkan dari Mahkamah Tinggi 3 (Mohd Nazlan) untuk didengar di hadapan Muhammad Jamil berdasarkan surat yang diterima oleh pihak pendakwaan daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 7 Okt.

Mahkamah turut menetapkan 6 Jan tahun depan untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak memaklumkan sekiranya terdapat perkembangan baharu berkenaan dua kes tersebut.

Advertisement

Pada prosiding hari ini, kehadiran Najib dikecualikan kerana beliau masih menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Sabah, manakala Mohd Irwan Serigar diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran hadir di mahkamah.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Saiful Hazmi berkata saksi bagi perbicaraan kes pecah amanah itu membabitkan saksi yang hampir sama dengan kes 1MDB.

Pada 24 Okt 2018, Najib, 67, dan Mohd Irwan Serigar, 63, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah apabila kes itu disebut di Mahkamah Sesyen.

Advertisement

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia, masing-masing dalam kapasiti terbabit, diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu sejumlah RM1.2 bilion milik kerajaan Malaysia melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd Irwan didakwa bersama-sama atas jawatan sama, yang diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta terbabit.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka dituduh secara bersama, atas kapasiti sebagai penjawat awam dan memegang jawatan yang sama, melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)”, milik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan kepada mereka.

Advertisement

Kedua-dua mereka juga dituduh secara bersama, atas jawatan yang sama, telah melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka dituduh bersama atas jawatan serupa, melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik kerajaan Malaysia.

Najib dan Mohd Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017.

Advertisement

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top