BM | EN | 中文

Biar Lembaga Disiplin tentukan tindakan terhadap Osman Sapian

Bersatu_Johor_PPBM_osman_sapian.jpg

IPOH, 3 SEPT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin parti itu untuk menentukan tindakan terhadap bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian yang didakwa membantu kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, baru-baru ini.

Ahmad Faizal Azumu

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata jawatankuasa Lembaga Disiplin parti sebelum itu perlu menyiasat dan memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu untuk memberi keterangan.

Ahmad Faizal, yang juga Menteri Besar Perak, berkata demikan kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad di pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Ahad lalu, tular video yang menunjukkan Osman sedang berucap semasa kempen calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata Perak belum membuat keputusan sama ada mahu membubarkan DUN sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata pada masa ini kerajaan negeri mahu memberi fokus kepada soal ekonomi dan kebajikan rakyat dalam menghadapi fasa pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top