BM | EN | 中文

Beza pandangan dalam BN takkan pecah belah parti – Ismail Sabri

ismail-sabri-umno.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 10 APR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui wujud perbezaan pandangan dalam kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), namun beliau yakin perbezaan itu tidak akan memecah belahkan gabungan berkenaan

Katanya beliau turut yakin MCA dan MIC akan terus bersama BN dalam usaha melakukan perubahan bagi menghadapi cabaran politik pada masa depan.

“Saya percaya tiada fakta menunjukkan mereka tidak akan bersama (BN). Perbezaan pandangan memang ada, bukan sahaja dalam kalangan ahli UMNO, tetapi dengan komponen pun kadang-kadang (ada), dari dahulu pun, waktu kita menjadi kerajaan kenyataan yang dibuat oleh parti komponen agak keras dan kita tidak pernah berpecah pun.

Advertisement

“Apabila BN kalah pada Pilihan Raya Umum lalu, banyak parti lain meninggalkan kita, tetapi MCA dan MIC terus kekal bersama kita jadi pandangan berbeza tidak akan memecahbelahkan antara parti di dalam BN dan saya yakin mereka akan terus kekal bersama BN,” katanya kepada pemberita selepas majlis program Bangkit 15 peringkat negeri Johor di sini hari ini.

Mengulas mengenal gesaan beberapa pihak yang mahukan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengundur diri kerana dibayangi beberapa isu termasuk kes mahkamah, Ismail Sabri berkata UMNO adalah parti yang bebas dan demokratik selain ahlinya bebas mengeluarkan hujah dan pandangan

“Kita tidak pernah menyekat pandangan daripada sesiapa pun sejak dari dahulu lagi dan ini adalah cara UMNO.

Advertisement

“Jadi terserah kepada ahli-ahli untuk cakap apa-apa, tetapi akhirnya kitalah yang akan buat keputusan di peringkat Majlis Tertinggi dan sebagainya,” katanya.

Mengenai audio mirip suara Ahmad Zahid dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa bertujuan memecahbelahkan parti, beliau berkata: “setakat ini saya tak berani kata tak nak kata memecahbelahkan parti tetapi perbezaan pandangan itu ada.

“Ada yang kata la betul. ada yang kata palsu, Jalan terbaik adalah polis punya siasatan,” katanya.

Advertisement

Baru-baru ini satu rakaman audio perbualan antara dua individu yang mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar didakwa berlangsung selepas Perhimpunan Agung Umno, menjadi tular di media sosial.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top