BM | EN | 中文

BERSAUH TANPA KEBENARAN, UNDANG BAHAYA KESELAMATAN

IMG-20191208-WA0012.jpg
Advertisement

KOTA TINGGI, 8 DIS: Sebuah kapal tangki berdaftar di Vietnam dikesan berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 4.6 batu nautika selatan di Tanjung Penyusop, di sini.

Kapal MT Viet Tin 01 itu dikesan bersauh di kawasan laluan utama kapal dagang yang mengundang bahaya kepada kapal-kapal lain yang melalui kawasan tersebut.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, jurutera kapal tersebut, seorang lelaki warga Vietnam berumur 61 tahun ditahan pada kejadian yang berlaku kira-kira 9 pagi tadi.

Advertisement

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki tersebut menyatakan bahawa kapal telah hanyut dari posisi asal kapal bersauh dimana sebelum itu kesemua kru termasuk Nakhoda telah pulang ke negara masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tambahnya lagi, Maritim Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia sedang mengusaha untuk memindahkan kapal tangki tersebut ke lokasi yang selamat sementara kapal dan ketua jurutera tersebut ditahan bagi siasatan lanjut.

Aminuddin berkata, berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan selain faktor keselamatan, khidmat Pasukan Tindakan Khas (PTK) telah digunakan bagi melakukan pemeriksaan.

Advertisement

“Terdahulu, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) yang ditugaskan ke lokasi telah cuba menghubungi kapal tangki tersebut melalui panggilan radio dan pembesar suara, namun tiada maklumbalas diterima sementara kapal tersebut disyaki telah ditinggalkan,” katanya.

Beliau berkata, semakan turut dilakukan dengan pihak Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Jabatan Laut Malaysia dimana didapati tiada rekod mengenai kapal tangki tersebut serta pemilik kapal dikesan.

“Bagi memastikan keselamatan kapal-kapal lain yang melalui kawasan tersebut, difahamkan pihak Jabatan Laut telah mengeluarkan maklumat keselamatan pelayaran secara berterusan kepada kapal-kapal yang melalui kawasan itu,“ katanya.

Advertisement

Aminuddin menegaskan Maritim Malaysia sentiasa bersedia mengawasi keselamatan dan kesejahteraan perairan selat Melaka yang menjadi tumpuan laluan kapal-kapal dagang seluruh dunia.

Beliau turut menasihati orang ramai terutama para pengguna perairan Johor yang berdepan situasi kecemasan supaya menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di 07-2199404 atau talian kecemasan MERS 999.

“Selain itu, Maritim Malaysia turut menasihatkan agar segala faktor keselamatan sentiasa dititikberatkan oleh komuniti maritim terutamanya pada musim tengkujuh ini,“ katanya.

Advertisement

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top