BATU PAHAT, 25 OGOS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, dilihat tersisih selepas pemilihan parti itu yang menyaksikan hanya seorang sahaja wakil mereka memegang jawatan Majlis Perwakilan Tertinggi (MPT).
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Noor Khalim Sakib merasakan bahawa dalam pemilihan Bersatu baru-baru ini telah mencerminkan bahawa terdapatnya penolakan dari wakil Bersatu Johor.

Noor Khalim Sakib
Katanya, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan orang Johor dilihat tidak mampu meyakinkan perwakilan yang lain untuk memberi mandat kepada calon dari negeri Johor.
“Dari segi pengaruh, Exco dan Pengerusi negeri dilihat lebih ke depan berbanding yang lain.
“Namun hasil keputusan menunjukkan Exco Bersatu di Johor semuanya kalah. Tang menang sudah pastinya ‘budak suruhan’ Muhyiddin iaitu Dr Sahruddin Jamal.
“Ia membuktikan bahawa Bersatu Johor tersisih dari pemilihan yang baharu dijalankan. Adakah pengorbanan Bersatu Johor tidak dilihat oleh perwakilan di peringkat nasional sehingga mereka (Bersatu Johor) tersisih?
“Ini juga gambaran bahawa Muhyiddin bukan lagi seorang yang kuat untuk membawa suara Bersatu Johor ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu Khalim turut mempersoalkan sama ada wujud percaturan untuk menyisihkan Bersatu Johor di peringkat pusat parti itu.
“Bersatu Johor dilihat sebagai golongan yang sentiasa membawa idea yang bertentangan dengan pusat dan tidak dinafikan juga mungkin wujud gelombang percaturan untuk menyisihkan Bersatu Johor.
“Dalam satu hal lagi, baru-baru ini pasukan Azmin mengisytiharkan untuk bersama-sama Bersatu dan ura-ura menyatakan bahawa Azmin berkemungkinan besar akan dilantik menjadi Naib Presiden. Hal ini pastinya akan melukakan Bersatu Johor.
“Sekiranya wujud percaturan menyisihkan Bersatu Johor kerana kelantangan suara dan Azmin dilantik sebagai Naib Presiden, sudah terbuktilah bahawa Bersatu bukanlah payung yang kuat di Johor untuk memayungi ahlinya,” katanya lagi.
Johorkini