BM | EN | 中文

BERSATU Johor persoal lantikan ketua kampung

osman-sapian-Bersatu-PPBM-Johor.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 15 MAC: Keputusan UMNO Johor yang kekal dengan pendirian 90 peratus ketua kampung diisi dalam kalangan ahli parti itu didakwa akan merenggangkan lagi hubungan parti itu dengan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian, berkata keengganan UMNO Johor berkompromi dan berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Johor (BERSATU) mengenai isu berkenaan sangat mengecewakan.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata, lantikan ketua kampung baru-baru ini membelakangkan semangat setia kawan dengan BERSATU Johor yang menyokong kerajaan negeri di bawah Menteri Besar dari UMNO.

Advertisement

Katanya, tindakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad itu jelas mengingkari arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengarahkan PN Johor dan UMNO Johor membuat keputusan bersama membabitkan isu berkenaan.

“BERSATU Johor sudah membuat kenyataan terbuka selain menghantar surat rasmi bagi meminta Menteri Besar sekurang-kurangnya berbincang dengan PN Johor, namun nampaknya tiada maklum balas sehingga pelantikan dan angkat sumpah berlangsung minggu lalu.

“Bukan setakat lantikan ketua kampung yang dibuat tanpa rundingan antara parti dalam PN, malah lantikan Pengerusi Yayasan Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis Bandaraya, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pegawai penggerak Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim juga dibuat tanpa sebarang perbincangan.

Advertisement

“Sejak setahun lalu, tiada mesyuarat antara PN dan Barisan Nasional (BN), malah pertemuan silaturahim atau minum petang juga tiada.

“Tiadanya ruang muzakarah ini, menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati bukan saja dalam kalangan Ahli DUN (ADUN) kami malah akar umbi yang menganggap kami diketepikan sepenuhnya,” katanya, lapor Berita Harian.

Pada 2 Mac lalu, PN Johor dilaporkan kecewa dengan tindakan Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri melantik lebih 90 peratus ketua kampung di negeri ini dalam kalangan ahli UMNO.

Advertisement

Setiausaha PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, dilaporkan berkata lantikan itu dilihat hanya membabitkan sebelah pihak serta tidak mencerminkan semangat kerjasama dan muafakat antara parti yang membentuk kerajaan negeri pada hari ini.

Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor dilaporkan berkata, pelantikan ketua kampung baharu itu juga tidak dibincangkan bersama parti lain di dalam PN Johor seperti amalan kebiasaan.

Ditanya sama ada perkembangan terbaharu itu akan menjadi bibit perpecahan PN Johor dan UMNO Johor, Osman berkata, perkara itu hanya boleh diputuskan pucuk kepemimpinan parti.

Advertisement

Katanya, perkara itu menyebabkan akar umbi BERSATU Johor terguris dan meminta tindakan diambil namun beliau memohon ahli parti itu menunggu keputusan pemimpin tertinggi.

“Jawatan ketua kampung ini imbuhannya bukan banyak hanya RM400, namun mengapa Hasni menyingkirkan hampir semua ketua kampung dari BERSATU yang sudah menjalankan perkhidmatan baik dan mendapat penarafan gred tinggi daripada Pegawai Daerah dan digantikan pula dengan semua ahli UMNO.

“BERSATU bukanlah mahu memonopoli jawatan itu tetapi biarlah dibuat ikut kuota yang diputuskan dan ada perbincangan dengan parti komponen menyokong kerajaan negeri.

Advertisement

“Saya bercakap ini berdasarkan pengalaman saya sebagai Menteri Besar sebelum ini, yang mana sebelum lantikan ketua kampung dibuat, ada muzakarah dengan parti dan mengikut nisbah jumlah kerusi ADUN parti yang membentuk kerajaan negeri sebelum lantikan dibuat,” katanya.

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top