BM | EN | 中文

Bersatu Johor cadang guna hasil kutipan saman untuk tingkat fasiliti PDRM

solihan-mugshot-01-01-scaled.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 13 DIS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mencadangkan hasil kutipan saman yang diperoleh dibelanjakan untuk meningkatkan fasiliti kesemua premis Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, hasil itu sewajarnya digunakan untuk tujuan demikian sebagai insentif untuk anggota pasukan tersebut berbanding dimasukkan ke dalam akaun hasil negara.

“Kutipan saman kesalahan trafik bukan pendapatan yang diunjurkan dalam Belanjawan Negara. Jadi, atas semangat 100 Hari aspirasi Keluarga Malaysia, kutipan kali ini disaran dibelanjakan untuk kebajikan anggota PDRM yang sentiasa komited dan kental menjadi sebahagian daripada pasukan barisan hadapan negara.

Advertisement

“Premis PDRM dibina dan diurus berasingan sekaligus anggota pasukan ini tidak menikmati fasiliti sebagaimana petugas jabatan mahupun agensi Persekutuan lain yang lazimnya beroperasi di bawah satu bumbung seperti Wisma Persekutuan,” katanya, lapor Utusan Online.

Bermula 9 Disember hingga semalam, sebanyak RM109 juta bayaran saman dikutip di seluruh negara susulan pemberian potongan sebanyak 80 peratus ditawarkan. Jumlah kutipan dijangka meningkat apabila tempoh diskaun dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Justeru, Mohd. Solihan berkata, Bersatu Johor berharap saranan itu tidak disalah tafsir dan sewajarnya menjadi isu, mencetuskan polemik atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak tetapi diberikan atas sifatnya sebagai insentif serta penghargaan kepada PDRM.

Advertisement

Katanya, pihak PDRM pasti mengalu-alukan saranan tersebut dan pemberian insentif kerajaan itu pasti dibalas dengan komitmen perkhidmatan yang lebih jitu oleh seluruh anggotanya.

“Cadangan dibelanjakan hasil untuk membantu meningkatkan fasiliti PDRM itu sebenarnya kecil berbanding peruntukan tahunan menerusi Belanjawan 2022, namun, insentif kecil itu tetap memberi makna yang besar.

“Penambahbaikan fasiliti tempat kerja adalah satu proses berterusan, tidak dapat dinafikan mampu memberi kesan kepada peningkatan kualiti dan prestasi jentera kerajaan termasuk PDRM dalam memberi khidmat khususnya dalam menguatkuasakan undang-undang dan menjaga ketenteraman awam di negara ini,” katanya.

Advertisement

Dalam pada itu, beliau berkata, Bersatu Johor mengalu-alukan keputusan melanjutkan saman kerana itu merupakan cerminan prihatin dalam memberi peluang pesalah trafik yang belum dapat melunaskan saman tersebut.

Jelasnya, ini kerana kesesakan kaunter pembayaran atau tekanan komitmen kewangan lain kerana pandemik Covid-19 untuk berbuat demikian sehingga hujung tahun ini.

Johorkini

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top