BM | EN | 中文

Bergson catat hatrik, JDT tewaskan Perak FC 5-0

jdt-bergson.jpg

Gambar Ehsan FB Johor Southern Tigers

Advertisement

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Jaringan hatrik Bergson Da Silva memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menghukum pasukan kedua tercorot Liga Super, Perak FC 5-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Skuad kendalian Benjamin Mora turun dengan misi mengekalkan momentum kemenangan berterusan terlebih dahulu menyentap perasaan skuad The Bos Gaurus menerusi jaringan pemain import kelahiran Brazil itu pada minit ke-19.

Bersambung babak kedua, derita Perak FC berganda selepas Bergson meletakkan JDT selesa di depan dengan jaringan pada minit ke-47 dan ke-59 sekali gus berkongsi kedudukan penjaring terbanyak Liga Super dengan pemain Selangor lfedayo Olusegun.

Advertisement

Perak FC seakan tidak berdaya untuk menggempur kubu pertahanan JDT dan kelebihan itu terus digunakan sepenuhnya selepas Gonzalo Cabrera menjaringkan gol pada minit ke-86 dan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-89 .

Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, tuan rumah Penang FC terpaksa akur dengan kekalahan 1-4 kepada Selangor FC walaupun berjaya mengikat pasukan pelawat 1-1 pada separuh masa pertama perlawanan.

Ifedayo menyumbang dua gol buat pasukan Gergasi Merah pada minit ke-15 dan 90, selain menerusi jaringan Ahmad Danial Ahmad Asri (minit ke-49) dan Sean Eugene Selvaraj (minit ke-56) manakala gol tunggal Penang FC dijaringkan David Rowley pada minit ke-39.

Advertisement

Selangor kini menduduki tangga kelima Liga Super dengan 23 mata di belakang JDT selaku pendahulu.

Kuala Lumpur City FC pula terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila terikat 1-1 dengan Melaka United dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini.

Sementara itu, dalam aksi Liga Premier, Negeri Sembilan FC berpesta gol apabila menang 5-0 ke atas Perak FC II dalam aksi berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Advertisement

Kelantan FC pula gagal memanfaat peluang bermain di tempat sendiri selepas tewas kepada Terengganu FC II 0-2 dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada perlawanan petang tadi.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top