(Gambar Ehsan Run For Malaysia)
BATU PAHAT, 25 OGOS: Sembilan sekawan, yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Run for Malaysia-JB and BP’, meneruskan kelainan dalam menzahirkan semangat kecintaan terhadap negara dengan menyertai pertandingan larian sambil memakai baju tradisional dan patriotik.
Seorang daripada mereka, Muzafar Moksin, 33, berkata tahun ini adalah tahun ketiga dia dan lapan rakan lain menyertai larian dengan memakai baju Melayu, baju kurung, sari, cheongsam dan pakaian bertemakan kenegaraan.
Muzafar berkata, ilham kesemua mereka yang terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita berumur 30-an untuk memakai pakaian itu tercetus ketika pertama kali menyertai larian ‘Brooks National Day Run 2017’ yang diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60 di sini, dua tahun lepas..
“Kami mahu melakukan kelainan dan idea berkenaan adalah hasil kesepakatan kami selain menyesuaikan larian dengan tema bersempena kemerdekaan negara.
“Setelah berjaya menarik perhatian umum pada kali pertama, kami mahu mengulanginya lagi dan pada masa yang akan datang, kami mahu orang ramai terus mengenali identiti kami dengan kelainan yang kami lakukan ini,” katanya yang ditemui pemberita sejurus menamatkan larian sejauh 13 kilometer menerusi ‘Brooks National Day Run 2019’ yang berakhir di Batu Pahat Mall di sini, semalam.
Larian disertai 1,000 peserta termasuk tujuh rakyat Filipina, Indonesia dan Singapura itu dirasmikan Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon dan dihadiri Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas.
Rakan Muzafar, Mohd Fakhrudin Tukiman, 35, pula berkata berbaju tradisional bersama-sama rakan dapat melahirkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia.
“Modal untuk menyediakan pakaian tradisional dan patriotik ini tidaklah terlalu tinggi, hanya kira-kira RM100 sahaja untuk setiap pasang dan masing-masing mengeluarkan belanja sendiri.
“Selain menjadi tumpuan, kami berharap satu masa nanti ia akan menjadi ikutan individu lain, terutama pada acara larian tahunan ini, yang turut disertai peserta luar negara,” katanya.
Bernama