KULAI, 17 DIS: Lori muatan beras terlanggar batu pembahagi jalan sebelum terbalik di persimpangan lampu isyarat KM2 Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 6.30 pagi itu, muatan beras yang dibawa lori itu berterabur di atas jalan selepas terbabit dalam kemalangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yow berkata, kejadian tersebut telah menyebabkan pemandu lori dan dua kelindan mengalami cedera ringan.
“Siasatan menunjukkan lori muatan 10 tan itu dalam perjalanan dari Seelong ke Pekan Senai sebelum mengelak sebuah kenderaan yang sedang menurunkan penumpang di bahagian kiri jalan tersebut.
“Akibat daripada itu, pemandu lori tersebut telah terlanggar batu pembahagi jalan dan terbalik di tengah laluan di KM 2 Jalan LTAB Senai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beng Yeow berkata, kemalangan telah menyebabkan tiga lelaki mengalami cedera ringan dan kesemua mangsa mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Kulai.
“Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) masih berada di lokasi bagi mengawal aliran trafik dan kerja-kerja pembersihan jalan dilakukan oleh pihak bomba,” katanya.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan dibawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Johorkini