BM | EN | 中文

Benarkah zaitun nama asal Guangzhou

batu-bersurat-yang-menyatakan-menara-masjid-ini-diasaskan-oleh-Saad-bin-Abi-Waqas.jpg

Batu bersurat yang menyatakan menara masjid ini diasaskan oleh Saad bin Abi Waqas

Advertisement

Jika Malaysia adalah negara Islam, negara China adalah negara kafir. Begitulah tanggapan mudah yang boleh dibuat. Maka, bangsa Cina khususnya di Malaysia jika beragama Islam sering dilabel sebagai mualaf kerana asal mereka adalah daripada golongan bukan Islam.

Kebiasaan menganggap orang Cina sebagai mualaf telah menyembunyikan fakta sebenar bahawa Islam telah datang kepada mereka lebih awal daripada kedatangannya ke alam Melayu.

Dewan solat Masjid Huaisheng

Ini juga adalah kesan daripada dasar tertutup kerajaan China suatu ketika dahulu yang tidak mendedahkan situasi dan sejarah umat Islam di China.

Advertisement

Guangzhou pernah disinari dengan kedatangan Saad bin Abi Waqqas, bapa saudara Nabi pada sekitar tahun 620M sebagai pemimpin delegasi kunjungan rasmi yang diutuskan Saidina Uthman Ibnu ‘Affan. Kedatangan beliau bertujuan untuk berdakwah selain berdagang.

Guangzhou dahulu dikenali sebagai Canton dalam kebanyakan buku sejarah tulisan Inggeris. Kini Canton merujuk kepada provinsi Guangdong, sedangkan dalam sejarah ia merujuk kepada ibukota Guangdong iaitu Guangzhou.

Dalam buku catatan perjalanan Rihlah Ibnu Battuta, dinyatakan nama pelabuhan terkenal di China sebagai Zaitun kerana begitu ramai orang Arab berdagang di sana. Begitu juga dengan Marco Polo yang merekodkan pengembaraannya ke Zaitun.

Advertisement

Sebutan Kanton juga seakan-akan sama dengan sebutan Zaitun. Ada yang merujuk Zaitun sebagai Guangzhou pada hari ini.

Tambahan pula, sehingga kini saya dapati kebanjiran orang Arab masih dapat dilihat di sini. Keterangan yang dicatat oleh Ibnu Battutah juga jelas masih berlaku di Guangzhou.

Menara Masjid Huaisheng

Masjid Huaisheng yang terletak di Guangta Lu adalah masjid pertama yang diasaskan oleh Saad bin Abi Waqqas setibanya di Canton. Ia dibina sempena memperingati Nabi Muhammad SAW. Inilah masjid pertama yang saya kunjungi pada minggu pertama saya menjejakkan kaki ke tanah besar China.

Advertisement

Menara yang masih utuh dalam masjid ini adalah asli sejak zaman ia dibina sedangkan struktur masjid yang lain telah dibina semula selepas berlaku kebakaran besar menurut sumber lisan yang saya perolehi daripada pegawai masjid.

Struktur binaan masjid ini tidak seperti masjid lain yang berkubah. Masjid ini dibina sewaktu Dinasti Tang yang menukilkan hasil kerja kaum Cina pada zaman itu. Sebab itulah jika sekali pandang, masjid ini kelihatan seperti tokong Cina.

Mujur ada menara yang melambangkan pengaruh Arab dalam pembinaan masjid. Menara ini juga dikenali sebagai rumah api. Ia dijadikan panduan kepada para pelayar yang melalui Sungai Zhujiang yang sibuk dengan urusan perdagangan.

Advertisement

Kesantunan pendakwah Islam yang menghormati adat budaya setempat dengan mendahulukan senibina tempatan adalah suatu teladan yang perlu dipelajari. Islam itu fleksibel dan mudah. Selagi perkara asas seperti aqidah dan syariat tidak terancam, adat dan budaya tempatan masih
diberikan peranan.

Saya berasa cukup gembira dapat bertemu umat Islam di Guangzhou apabila berkunjung ke masjid ini. Benarlah pesan mentor saya, ke mana sahaja kita pergi, carilah masjid kerana di situ kita akan bertemu dengan saudara-saudara kita yang seagama. Dari situlah nanti kita akan dipertemukan dengan pelbagai keunikan tempatan oleh saudara-saudara kita ini.

Pandangan dari dalam perkarangan masjid

Pernah saya berbual dengan Ann Wan Seng, penulis buku tentang Cheng Ho dan budaya orang Cina, dengan nada seloroh beliau bertanya, “Sebenarnya siapa yang muallaf, Melayu ke Cina?” Saya hanya tersenyum apabila sedar sebenarnya Islam sudah lama bertapak di hati orang-orang Cina.

Advertisement

Berbalik kepada nama Zaitun, setelah saya meneliti garis masa sejarah, catatan yang tertulis nama ini direkodkan pada era Dinasti Yuan oleh Marco Polo dan Ibnu Battutah. Kala itu pelabuhan terkenalnya ialah Quanzhou, manakala Guangzhou jatuh tempat kedua. Dalam era Dinasti Tang dan Song, sememangnya Guangzhou yang menjadi pintu utama perdagangan laut.

Jadi, Zaitun sebenarnya lebih tepat merujuk kepada Quanzhou yang terletak tidak jauh dari Guangzhou. Di situ juga didapati banyak penempatan orang Arab-Parsi pada zaman berkenaan. Malah, masih wujud beberapa masjid bercirikan Arab yang dibina sejak zaman Dinasti Yuan.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top