ISKANDAR PUTERI, 29 OKT: Belanjawan Johor 2021 akan menyediakan peruntukan bagi membantu golongan terkesan COVID-19 khususnya petugas barisan hadapan, kata Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.
Beliau berkata peruntukan besar akan disediakan dalam belanjawan yang akan dibentang bulan depan itu untuk membantu golongan terkesan seperti kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan para petugas barisan hadapan di negeri ini.
“Tumpuan kami adalah kepada golongan yang terkesan oleh kerana pandemik ini seperti petugas hadapan yang terlibat dalam usaha untuk memerangi COVID-19 ini.
“Saya yakin dan percaya Kerajaan Negeri akan mengikuti dengan dekat belanjawan Kerajaan Persekutuan dan bersedia menjadikan belanjawan Johor membantu usaha-usaha Kerajaan Persekutuan khususnya menangani COVID- 19,” katanya.
Hasni berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Inisiatif Untuk Strategik Modal Insan Johor dan pelancaran buku panduan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Johor, di Kota Iskandar, di sini semalam.
“Kami akan menyediakan jumlah yang besar kerana mengambil pendekatan bahawa kerajaan perlu mempunyai kedudukan fiskal yang sihat dalam usaha menguruskan belanjawan setiap tahun.
“Walaupun mahu membelanjakan lebih banyak untuk rakyat tetapi kami juga harus memastikan yang kedudukan fiskal kerajaan negeri adalah sihat dan dijadikan teras (dalam perancangan) belanjawan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hasni berkata Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura akan memulakan operasinya pada suku pertama tahun depan.
Beliau berkata walaupun lokasi pejabat itu tidak terletak di kawasan pusat tumpuan perniagaan (CBD) tetapi ia akan berperanan membantu rakyat Malaysia di Singapura dan menggalakkan pelaburan.
Bernama