BM | EN | 中文

Belanjawan Johor 2021: Kerajaan negeri diminta perinci butiran One Stop Centre 3.0 Plus Online – Adun Skudai

Tan-Hong-Pin-Adun-Skudai.jpeg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 27 NOV: Kerajaan negeri diminta untuk memperincikan butiran berhubung pelaksanaan Sistem One Stop Centre 3.0 Plus Online di bawah Program Digitalisasi PBT Johor.

Adun Skudai Tan Hong Pin berkata, perkara itu terkandung dalam pembentangan usul Belanjawan Johor 2021 semalam dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan tempatan.

Menurut Hong Pin, inisiatif pendigitalan PBT telah bermula di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional melalui pelaksanaan sistem e-PBT berjumlah RM41.74 juta pada tahun 2010.

Advertisement

Daripada jumlah itu kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM9.94 juta manakala bakinya sebanyak RM31.8 juta diperuntukkan oleh PBT.

“Langkah meneruskan pendigitalan PBT yang diusahakan kerajaan terdahulu amat disambut baik namun menimbulkan kebimbangan sekiranya inisiatif tersebut menjadi gajah putih dengan membangunkan sebuah sistem serba baharu.

“Justeru, saya mohon penjelasan kerajaan Johor tentang langkah bagi mendapatkan kerjasama daripada seluruh PBT dalam kadar segera untuk memastikan rakyat menerima manfaatnya.

Advertisement

“Saya mahu mengambil perhatian kerajaan negeri dan umum bahawa pendigitalan PBT di Johor terlalu lewat dan terkebelakang meskipun telah bermula sejak 10 tahun lalu menyaksikan pembaziran sumber bagi tujuan pemindahan data, perkakasan dan latihan modal insan,” katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 tidak menghenti atau merombak keseluruhan inisiatif berkenaan yang hanya dimanfaatkan sebanyak 70 peratus namun membabitkan lima PBT.

Ia melibatkan penyediaan platform pembayaran cukai dan kompaun secara dalam talian (online) sepanjang tempoh lapan (8) tahun pelaksanaannya.

Advertisement

“Dapatan tersebut menjadi penanda aras bagi pentadbiran kerajaan PH memperkukuh dan melengkapkan sistem e-PBT berkenaan serta menekankan keperluan penggunaan kesemua modul sistem e-PBT dalam meningkatkan tadbir urus kerajaan tempatan.

“Suka saya kongsikan sepanjang tempoh tahun pertama pentadbiran kerajaan PH, peratusan penggunaan modul sistem e-PBT melebihi 80 peratus menyaksikan sebanyak sembilan PBT menyediakan sistem e-khidmat,” kata Hong Pin.

Katanya ia merangkumi perkhidmatan pembayaran cukai pintu, kompaun, pembaharuan lesen perniagaan dan penempahan kemudahan
PBT secara dalam talian.

Advertisement

“Saya ingin menekankan sistem e-PBT yang telah mencecah usia 10 tahun melalui tiga pentadbiran kerajaan.

“Namun, penggunaan modul sistem e-PBT masih belum mencapai tahap 100 peratus dan berdasarkan rekod sebelum ini, sebahagian PBT masih belum selesai melalui proses pemindahan data.

“Mampukah kerajaan Johor mensisakan tempoh 10 tahun lagi bagi membangunkan sebuah sistem e-PBT baharu semula tatkala negara-negara jiran di rantau ini kini sedang melaksanakan pelbagai dasar berteknologi baharu untuk meningkatkan kecekapan tadbir urus?

Advertisement

“Saya menggesa kerajaan Johor memperincikan terlebih dahulu program Digitalisasi PBT Johor dan Sistem One Stop Center 3.0 Plus Online yang diumumkan tersebut.

“Seterusnya, saya menyarankan agar kerajaan negeri menambahbaik sistem sedia ada berbanding membazirkan sejumlah wang pembayar cukai sekali gus memastikan usaha pendigitalan berkesan serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top