BM | EN | 中文

Belanjawan Johor 2021 dijangka berpandukan belanjawan nasional – Ahli Akademik

johor-kota-iskandar.jpg
Advertisement

Oleh Lucia Terey Anak John dan Suhainie Mohd Khalid

JOHOR BAHRU, 25 NOV: Belanjawan Johor 2021 yang akan dibentangkan Khamis ini, dijangka dirangka berpandukan kepada model Belanjawan 2021 peringkat nasional agar bersesuaian dengan keperluan semasa rakyat di negeri ini.

Pensyarah Kanan Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Suhana Mohamed berkata langkah itu dilihat tepat memandangkan keunikan Johor yang berbeza daripada negeri lain.

Advertisement

Mengambil contoh, katanya, negeri ini mempunyai seramai 300,000 pekerja Malaysia di Singapura yang tidak dapat bekerja sejak Mac lepas kerana tidak dapat berulang alik ke republik itu.

Sehubungan itu, beliau yakin dalam Belanjawan Johor kali ini, kerajaan negeri akan memastikan soal kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan sedia ada dan ketahanan serta pengembangan ekonomi menjadi pertimbangan utama mereka.

“Ia tentulah satu belanjawan yang memberi tumpuan untuk kesejahteraan rakyat yang terjejas dari segi kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Advertisement

“Belanjawan Johor 2021 juga dijangka menyediakan peruntukan khas bagi membantu golongan terkesan COVID-19 khususnya petugas barisan hadapan seperti kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi lain di negeri ini,” katanya, lapor Bernama.

Belanjawan Johor 2021 yang bakal dibentangkan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad itu, merupakan belanjawan negeri pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional, sejak mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan Harapan pada 28 Feb lepas.

Mengulas lanjut, Suhana mengakui belanjawan kali ini merupakan yang sukar untuk Johor dalam memastikan ekonomi negeri terus bergerak maju dan kembali pulih seperti sebelum ini.

Advertisement

Namun, katanya, kerajaan negeri perlu tetap memberikan perhatian untuk menyediakan pelbagai langkah bagi memacu ekonomi di samping memastikan kesejahteraan rakyat.

“Langkah itu antaranya memberikan satu pakej keutamaan kepada pekerja Malaysia yang hilang pekerjaan di Singapura dan kepada mereka yang ingin membuka perniagaan sendiri dengan memberikan geran,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga boleh membuka Tabung Pandemik COVID-19 Johor untuk orang ramai bersama-sama menyumbang sebagai usaha membantu mereka yang terkesan dengan sumbangan diberikan resit untuk pelepasan cukai.

Advertisement

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammed Fauzi Othman berharap Belanjawan Johor 2021 proaktif dalam menyediakan pakej rangsangan untuk menghidupkan semula sektor ekonomi di negeri ini termasuk sektor terjejas teruk akibat pandemik itu seperti pelancongan, pengangkutan serta perhotelan.

“Usaha ‘repurposing’ (menggunakan semula), ‘redirection’ (mengubah hala tuju) dan ‘re-establishing’ (mewujudkan semula) perlu dilaksanakan atau menghulurkan kemudahan kepada mereka yang terjejas. Sekarang pun kita sudah dengar hotel-hotel besar di negeri ini menghadapi masalah dan perlu dihentikan operasi.

“Ini merupakan hotel-hotel premium dan telah lebih 20 tahun dalam perniagaan. Jadi, perlu ada perancangan terhadap apakah yang boleh digunakan semula dalam perniagaan, aset dan sumber manusia mereka,” katanya.

Advertisement

Menyifatkan belanjawan kali ini sebagai ‘belanjawan luar biasa bagi situasi luar biasa’, Muhammed Fauzi berkata bantuan secara ‘one-off’ (sekali) mahupun secara berkala untuk tempoh enam hingga 12 bulan juga boleh dipertimbangkan oleh kerajaan negeri kepada sektor tidak formal seperti perniagaan kecil dan mereka yang bekerja dari rumah.

“Bentuk bantuan kos sara hidup sudah banyak dihulurkan oleh Kerajaan Persekutuan, namun begitu, bagi sektor tidak formal, penyaluran bantuan boleh dilaksanakan menerusi jentera kerajaan seperti ketua kampung dan pemimpin masyarakat,” katanya.

Menurutnya, memandangkan sektor pertanian dilihat mempunyai masa depan yang agak cerah ketika ini, kerajaan negeri diharap dapat menumpukan perhatian kepada sektor tersebut menerusi program jangka pendek dengan kepelbagaian tanaman dan pengenalan ternakan di tanah rancangan seperti Felda dan Felcra serta skim tanaman kontan seperti sayur dan buah-buahan di kawasan kampung pada skala sederhana komersil.

Advertisement

“Bidang pertanian kontan berskala kecil di bandar dan pertanian komuniti juga harus dipergiat di tanah-tanah poket bandar dan pinggir bandar.

“Strategi ala “projek buku hijau” zaman Tun Abdul Razak ini akan membina alternatif pendapatan, menurunkan harga barangan dan membantu sekuriti makanan,” katanya.

Dari segi pendidikan, beliau berharap Kerajaan Negeri Johor mengemaskini dan menambahbaik prasarana pendidikan khususnya bagi pengajaran secara inovatif.

Advertisement

“Apabila COVID-19 melanda, kepentingan pembelajaran di rumah atau ‘home tuition’ semakin meningkat termasuk keperluan pembelajaran dalam talian,” katanya.

Beliau menambah kerajaan negeri harus sensitif kepada perubahan ini terutamanya di Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) dengan melaksanakan pembelajaran secara dalam talian yang boleh melahirkan modul pembelajaran kendiri serta mudah diselia ibu bapa di rumah.

Mengenai langkah membantu buruh transnasional seperti mereka yang berulang-alik ke Singapura beliau berkata kerajaan negeri harus melakukan usaha ‘diverting’ (lencongan) dan ‘repurposing’ (guna semula) kerana sudah tiba masanya sebahagian daripada para pekerja memikirkan kelangsungan kerjaya di negeri ini.

Advertisement

“Saya jangkakan Kerajaan Negeri Johor juga perlu meningkatkan kualiti tadbir urus dengan peningkatan kecekapan, dedikasi, motivasi, integriti dan profesionalisme sistem penyampaian awam.

“Dan masa krisis seperti inilah masanya untuk ini dilakukan. Ini akan meningkatkan daya saing Johor dalam menghadapi cabaran akan datang terutamanya dengan pemugaran kerjasama multi dimensi Singapura-Johor-Indonesia (Sijori) kelak.

“Rakan strategik kita pasti mengharapkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, inovatif dan berintegriti,” katanya.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top