JOHOR BAHRU, 6 NOV: Negeri Johor turut disebut bakal menerima peruntukan dalam usaha pemeliharaan khazanah alam menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif.
Antaranya projek ‘Integrated Island Waste Management’ di sekitar pulau di Johor untuk mengurangkan kesan kemusnahan terumbu karang dan hidupan marin.
Bagi projek itu, sejumlah RM10 juta diperuntukkan bersama negeri Terengganu bagi usaha pemuliharaan tersebut.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program ini melibatkan kolaborasi pihak Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), kerajaan negeri dan sektor swasta.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021 hari ini Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan melaksanakan program penanaman pokok bakau bagi memelihara kawasan paya bakau serta spesies pokok lain di pesisiran pantai termasuk di Tanjung Piai, Pontian.
Difahamkan sejumlah RM70 juta akan digunakan bagi aktiviti ‘ecological fiscal transfer’ sebagai insentif tambahan kepada kerajaan negeri untuk menjamin kelestarian biodiversiti negara.
Johorkini