KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan akan terus melabur dalam membina sekolah-sekolah baharu selaras dengan peningkatan populasi penduduk.
Justeru itu, dalam pembentangan Belanjawan 2020 hari ini, tiga sekolah baharu akan dibina di Johor pada tahun hadapan iaitu di Kulai, Pasir Gudang dan Johor Bahru.
Selain itu beberapa sekolah baharu akan turut dibina antaranya di Langkawi, Hulu Langat, Putrajaya, Tumpat dan Marang.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha membaikpulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Tambahnya, kerajaan akan menambah peruntukan penyelenggaraan dan menaiktaraf sekolah daripada RM652 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 kepada RM735 juta pada tahun 2020.
“Ini bagi memastikan sekolah-sekolah sedia ada menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk anak-anak kita,” kata Guan Eng.
Tambahnya, bagi sekolah kebangsaan, peruntukan sebanyak RM23 juta akan disediakan untuk memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Ini selari dengan dasar penolakan sifar (zero reject) yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka.
Dalam pada itu, kerajaan juga akan meningkatkan jumlah bantuan bayaran utiliti tambahan yang juga merangkumi pembentungan sebanyak RM12 juta sekaligus memberi manfaat kepada dua ribu sekolah bantuan kerajaan.
Agihan peruntukan yang akan disalurkan kepada sekolah-sekolah seperti berikut:
Sekolah Kebangsaan
RM300 juta
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)
RM50 juta
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
RM50 juta
Sekolah Berasrama Penuh
RM50 juta
Maktab Rendah Sains MARA
RM50 juta
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan
RM50 juta
Sekolah Mubaligh
RM50 juta
Sekolah Tahfiz
RM50 juta
Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian
RM25 juta
Sekolah Pondok yang berdaftar
RM25 juta
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan
RM20 juta
Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)
RM15 juta
Johorkini