BM | EN | 中文

BELANJAWAN 2020 DAN HARAPAN RAKYAT JOHOR

IMG-20191011-WA0014.jpg

JOHOR BAHRU, 11 OKT: Kerajaan dan rakyat negeri Johor meletakkan harapan tinggi terhadap Belanjawan 2020 melalui langkah yang dapat merangsang kegiatan ekonomi dalam usaha memacu pertumbuhan negara.

Sebagai salah satu ‘economic powerhouse’ di Malaysia, kerajaan dan rakyat Johor berharap tumpuan diberikan kepada negeri ini, lebih-lebih lagi negeri Johor bakal menjadi tuan rumah kepada dua acara besar bagi tahun 2020, iaitu Tahun Melawat Johor dan Sukan Malaysia (Sukma).

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam kenyataannya sebelum ini berkata, beliau berharap lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada negeri Johor menerusi Belanjawan 2020.

“Kita harap kerajaan persekutuan dapat membantu kerajaan negeri Johor dan memberi sebanyak mungkin peruntukkan.

“Ini bagi memastikan bajet pembangunan dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditanya mengenai harapan Johor mengenai Belanjawan 2020.

Melalui tinjauan Johorkini mendapati, rakyat secara umum mahu kerajaan komited dan menguruskan perbelanjaan secara berhemah agar setiap rakyat merasai faedahnya.

Antaranya penyediaan lebih banyak peluang seperti skim atau geran tertentu khususnya kepada golongan muda untuk melibatkan diri dalam perniagaan.

Selain itu, pada sektor pendidikan, rakyat di negeri Johor berharap kerajaan bersikap adil, dengan mengubah trend kerajaan sebelum ini yang lebih mengutamakan sektor kejuruteraan berbanding bidang kemanusiaan.

Misalnya, menerusi bidang seni serta budaya yang menaikkan sahsiah rakyat wajar diberi peruntukan saksama.

Manakala golongan belia di negeri ini berharap agar kerajaan memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi selain usaha pengupayaan akarumbi di luar bandar.

Antaranya penekanan kepada kepentingan pembangunan aspek sosial sebagai persiapan negara berdepan cabaran pada masa akan datang melalui pendekatan menarik golongan belia berdaftar dibawah persatuan.

Dalam masa yang sama, golongan muda di negeri ini berharap Belanjawan kali ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan industri berteknologi tinggi.

Sementara itu, golongan wanita di negeri ini berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan membuka potensi ekonomi, peluang pendidikan, pembangunan institusi keluarga, isu keselamatan dan kestabilan masyarakat setempat.

Kebanyakan golongan ini berharap belanjawan kali ini menekankan kepentingan bagi mempertingkatkan kesejahteraan diri dan keluarga.

Rata-rata rakyat di Johor berharap Belanjawan 2020 menyambut gagasan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerajaan yang bertujuan menyusun semula struktur ekonomi, mengagihkan kekayaan negara dengan objektif merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin, antara kaum dan wilayah.

 

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top