JOHOR BAHRU, 6 OGOS: Bekas timbalan pengurus besar di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dihukum penjara 20 tahun dan denda RM766,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan menerima suapan, empat tahun lepas.
Hakim Kamarudin Kamsun memerintahkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap kesalahan itu dijalankan secara serentak.
Tertuduh juga berdepan dengan hukuman penjara dua tahun lapan bulan lagi sekiranya gagal membayar keseluruhan denda.
Noor Hisyam Mohd Abdullah Hashim, 46, bertugas sebagai Timbalan Pengurus Besar di Jabatan Landskap sebuah syarikat GLC antara 10 Feb 2016 hingga 15 Feb 2017, didakwa menerima suapan berjumlah RM153,200 daripada sebuah syarikat sebagai balasan memperakukan tuntuan kemajuan kerja syarikat berkenaan bagi projek landskap di East Ledang di Iskandar Puteri.
Atas kesalahan itu, tertuduh yang kini bekerja sendiri, didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, peguam tertuduh Muhamad Aizat Fakri memohon agar mahkamah mempertimbangkan untuk mengurangkan hukuman dengan mengambil kira tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung sepenuhnya ibu bapa, isteri yang tidak bekerja serta tiga anak berumur 18 hingga lima tahun.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan serius yang disifatkan sebagai ‘satu kanser’ dalam masyarakat dan perlu dijadikan pengajaran.
Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Suhaili Sapun manakala tertuduh turut diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.
Bernama