BM | EN | 中文

Bekas pengarah Jabatan Perpaduan Negara di Johor mengaku tidak bersalah kemuka dokumen palsu RM47,800

Bekas-Pengarah-Jabatan-Perpaduan-Negara-Johor-dokumen-palsu.jpg

Gambar Ehsan MACC Force

JOHOR BAHRU, 8 SEPT: Bekas Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk tuntutan keseluruhan bernilai RM47,800, lima tahun lepas.

Rajali Mudin, 56, yang ketika ini berkhidmat sebagai Pengarah Perhubungan Masyarakat dan Kejiranan di JPNIN Putrajaya, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan pertama hingga tiga, Rajali sebagai ejen kerajaan didakwa menggunakan dokumen-dokumen berkaitan tiga aktiviti majlis perpaduan milik sebuah syarikat peruncitan, yang masing-masing berjumlah RM10,400, RM11,800 dan RM13,200 dengan niat memperdayakan prinsipal beliau iaitu JPNIN negeri Johor, sedangkan aktiviti berkenaan tidak pernah dilaksanakan.

Bagi pertuduhan keempat, Rajali sebagai ejen kerajaan didakwa menggunakan dokumen berkaitan satu aktiviti muafakat milik sebuah syarikat penyediaan makanan dan kanopi berjumlah RM12,400 dengan niat untuk memperdayakan JPNIN negeri Johor, sedangkan aktiviti tersebut tidak pernah dilaksanakan.

Rajali didakwa melakukan kesemua pertuduhan terbabit di pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor, antara Nov dan Dis 2015.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama, yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Zander Lim, memohon ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan berkenaan, namun, peguam Iskandar Shah Ibrahim yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung seorang isteri dan lima anak.

Hakim membenarkan Rajali diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan berkenaan dan memerintahkan dia menyerahkan pasport antarabangsa serta melaporkan diri di pejabat SPRM pada awal bulan setiap bulan sehingga kes selesai.

12 Okt ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top