BM | EN | 中文

Bekas pegawai tentera mengaku tidak bersalah terima suapan

mahkamah-2.jpg

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan menerima suapan.

JOHOR BAHRU, 26 FEB : Seorang lelaki yang juga bekas pegawai tentera berpangkat mejar mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan.

Tertuduh, Mohd Suhaizal Mat Sulaiman, 42 mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 20 September 2016 di Malayan Banking Berhad Jalan Dato Haji Hassan, Kluang, tertuduh sebagai seorang ejen kerajaan Malaysia berpangkat Mejar dengan jawatan Pegawai Senggara 2 Sivil dan Struktur, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas di Bahagian Sel Pemantauan Projek Infrastruktur dan Senggaraan Tentera Darat , Kementerian Pertahanan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur secara rasuah memperoleh suapan wang RM5,700.

Suapan berkenaan diterima daripada Mohd Rafie Abdul Rahman melalui Siti Nurzura Khalid, bagi melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal iaitu melantik syarikat Teknik Murni Enterprise (No : 001347354-D) bagi melaksanakan kerja-kerja Senggaraan Sivil, Mekanikal dan Fasilitas Infra Latihan, Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) dan Infra Mekanikal PULADA.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh dan alamat yang sama secara rasuah memperoleh suapan iaitu wang RM4,300 daripada Mohd Rafie Abdul Rahman melalui Siti Nurzura Binti Khalid, bagi melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal iaitu melantik syarikat Teknik Murni Enterprise (No : 001347354-D) bagi melaksanakan Kerja-kerja Senggaraan Sivil, Mekanikal dan Fasilitas Infra Latihan, RKAT Desa PULADA dan Infra Mekanikal PULADA.

Oleh itu, bagi kedua-dua pertuduhan tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan agar jaminan dikenakan adalah sebanyak RM30,000.

Bagaimanapun, Mohd Suhaizal merayu kepada mahkamah agar mengurangkan jaminan kerana perlu menanggung orang tuanya selain mempunyai isteri dan empat orang anak yang perlu disara.

Tertuduh juga memaklumkan selepas ditamatkan perkhidmatan dari ATM dia kini bekerja membantu rakannya yang mengusahakan kantin sekolah selain menjadi pemandu Grab.

Kamarudin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan isteri sebagai penjamin.

Beliau juga meminta tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan serta tidak dibenarkan mendekati saksi.

Mahkamah kemudiannya turut menetapkan 8 April untuk sebutan semula kes.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top