BM | EN | 中文

Bekas pegawai kastam, peniaga dituduh di mahkamah Johor Bahru terima suapan RM54,000

Pegawai-kastam-peniaga-mengaku-tidak-bersalah-terima-suapan-RM54000-Mahkamah-Johor-Bahru.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 14 OKT: Seorang bekas penjawat awam dan peniaga masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas beberapa pertuduhan meminta dan menerima suapan wang berjumlah RM54,000, lima tahun lepas.

Tertuduh Amir Nurashid Ahmad Nasaruddin, 42, dan Mohd Zailani Mat Zin, 52, membuat pengakuan berkenaan, selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Amir Nurashid yang merupakan seorang peniaga pada ketika itu, didakwa secara rasuah meminta suatu suapan melalui panggilan telefon iaitu wang tunai RM20,000 daripada seorang pemilik syarikat.

Advertisement

Kesalahan itu dilakukan pada 19 Okt 2015, sebagai dorongan kepada beliau yang ‘kononnya’ bertugas sebagai Pegawai Tenaga Nasional Bhd (TNB), supaya menutup kes syarikat berkenaan yang dikatakan mencuri arus elektrik TNB.

Bagi pertuduhan kedua, Amir Nurashid pada hari yang sama pukul 4 petang, didakwa secara rasuah meminta suatu suapan melalui panggilan telefon iaitu wang tunai RM17,000 daripada seorang pemilik syarikat (individu yang sama pada pertuduhan pertama), sebagai dorongan kepada beliau yang kononnya bertugas sebagai Pegawai TNB, supaya menutup kes syarikat itu yang dikatakan mencuri arus elektrik TNB.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Amir Nurashid pada 26 Okt 2015, pada pukul 4 petang, didakwa telah bersubahat bersama Mohd Zailani, yang pada ketika itu bekerja sebagai pembantu penguasa kastam, secara rasuah menerima suapan berjumlah RM17,000 daripada individu sama, supaya menutup kes syarikat mangsa yang dikatakan mencuri arus elektrik TNB.

Advertisement

Sementara itu, Mohd Zailani turut didakwa pada 26 Okt 2015, masa yang sama telah secara rasuah menerima suapan berjumlah RM17,000 daripada individu sama itu sebagai dorongan melakukan sesuatu berkenaan dengan sesuatu perkara, iaitu supaya menutup kes syarikat yang dikatakan kononnya mencuri arus elektrik TNB.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru di sini.

Terdahulu Bernama melaporkan, pertuduhan ke atas kedua-dua mereka dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dibaca bersama Seksyen 28 (1)(C) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.

Advertisement

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa (SPRM) Yunus Mohamed memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin terhadap Amir Nurashid manakala RM20,000 terhadap Mohd Zailani.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan berikutan mereka sudah tidak bekerja selain perlu menanggung keluarga masing-masing.

Kamarudin kemudiannya memerintahkan kedua-dua tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain meminta mereka menyediakan peguam bagi perbicaraan dan menetapkan 17 Nov sebagai tarikh sebutan semula kes.

Advertisement

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top