BM | EN | 中文

Bekas MB Johor cabar Nur Jazlan tanding parlimen Pulai

datuk-osman-sapian.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 31 JUL: Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mencabar Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk bertanding di kerusi parlimen Pulai pada pilihanraya umum (PRU) ke-15.

Kata Osman cabaran itu dibuat ekoran beberapa kenyataan Nur Jazlan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini termasuk menyifatkan parti itu seperti ‘melukut di tepi gantang’.

“Saya cabar dia kalau hendak bertanding lawan saya, saya bertanding lawan dia. Insya-Allah saya boleh menang. Bertanding atas tiket parti apa? Itu tidak kiralah.

Advertisement

“Orang politik ini biasalah kalau dah berhenti lama, dia meroyan. Sebab dia pernah jadi timbalan menteri, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan.

“Sekarang dia tidak mempunyai apa-apa jawatan, sebab itu meroyan sampai hendak pilihan raya cepat,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Osman semalam mengulas kenyataan Nur Jazlan terhadap Bersatu Johor dengan menyatakan hubungan UMNO dengan parti itu rapuh terutama melibatkan formula agihan kerusi.

Advertisement

Adun Kempas selama empat penggal itu turut menjangkakan Nur Jazlan akan kalah sekali lagi jika mencuba nasib di kerusi Parlimen Pulai berdasarkan jumlah undi diterimanya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Dulu dia kalah majoriti lebih 20,000 undi kepada penyandang ahli parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Malah ketika pilihan raya sebelum itu, dia hanya menang lebih 3,000 undi sahaja.

Advertisement

“Berkenaan dia cakap Bersatu macam melukut di tepi gantang, saya nak jawab, sebenarnya ahli dan jentera kita lagi ramai daripada UMNO,” kata Osman Sapian.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top