BM | EN | 中文

Bekas jurufoto sambilan NSTP Johor derita barah perut, buah pinggang

NSTP-Media-Prima.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 16 NOV: Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul..begitulah yang sedang dilalui bekas jurugambar sambilan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Johor, Dazar Suarman yang kini menderita barah perut dan buah pinggang.

Dazar, 71, yang pernah berkhidmat dengan Berita Harian dari tahun 2000 hingga 2016 telah disahkan menghidapi penyakit berkenaan Ogos lepas.

Beliau yang juga merupakan pesara polis berkata segala perbelanjaan perubatan, perbelanjaan harian rumah hanya bergantung kepada wang pencennya berjumlah RM1,800 sebulan.

Advertisement

Bapa kepada dua anak perempuan itu berkata, sebelum ini beliau sering mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan hospital kerajaan di sini, tanpa menyedari akan penyakitnya itu.

Lebih memilukan, isterinya Yatemi Karsan, 68, turut terlantar akibat penyakit barah payudara sejak 2009 selain anak sulungnya, Sariah Dazar, 38, merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) kerencatan akal, pekak dan bisu.

“Saya sentiasa sakit siang dan malam dan saya tidak boleh tidur, kalau boleh tidur dalam 20 minit atas kerusi. Kalau tidur baring macam biasa memang tak boleh…itulah penderitaan saya selama empat bulan.

Advertisement

“Saya gunakan duit sendiri untuk perbelanjaan, selain pertolongan dari seorang kawan sekampung…dia lah yang tolong dan banyak berkorban. Dua minggu ini, saya belanja lebih RM5,000 (perubatan) dan saya tidak menerima apa-apa bantuan dari Jabatan Kesihatan Masyarakat (JKM) kerana belum buat permohonan,” katanya.

Beliau menambah, kini segala urusan di rumah termasuk memandikan isterinya dilakukan anak keduanya Asharah Dazar, 36, yang terpaksa berhenti bekerja sebagai pengurus di sebuah restoran makanan segera sejak dua bulan lalu dan mengambil alih tanggungjawabnya untuk menguruskan keluarga.

Ketika ditanya mengenai keperluan keluarganya ketika ini, beliau berkata lampin dewasa amat diperlukan berikutan isterinya yang tidak mampu bergerak menggunakan jumlah yang agak banyak dalam sehari.

Advertisement

“Kalau ikutkan RM1,800 sebulan memang tidak mencukupi dari segi makanan, saya boleh berjimat tetapi pampers anak dan isteri amat diperlukan. Lapan keping pampers diperlukan isteri sehari kerana dia tidak sedar bila membuang air kecil dan besar.

“Makanan setakat ini selain berjimat, adalah jiran yang bantu dan bagi sedekah,” katanya sambil menahan sebak.

Terdahulu, Dazar dikunjungi Kelab Media Johor (KMJ), yang tampil menyampaikan sumbangan wang tunai.

Advertisement

Presidennya Mohamad Fauzi Ishak berkata KMJ terpanggil untuk menyantuni bekas ahli kelab berkenaan yang pernah bersama-sama menyumbang bakti dalam industri media di negeri ini.

“Ini merupakan salah satu program KMJ, kita meniktikberatkan kebajikan ahli dan bekas ahli kelab. Hari ini saya dan Ahli Jawatankuasa kelab terpanggil untuk ziarah serta memberi sumbangan tunai.

“Apa yang akan kami lakukan seterusnya adalah untuk memaklumkan kepada Polis Diraja Johor (PDRM) Johor berkenaan keadaan saudara kita ini memandangkan beliau merupakan bekas anggota PDRM dari Skuad 69 dan mungkin sedikit bantuan boleh diberikan kepadanya bagi meringankan beban,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top