BM | EN | 中文

Bekas ejen pengurusan dituduh terima rasuah di mahkamah Johor Bahru

Bekas-ejen-pengurusan-dituduh-terima-rasuah-di-mahkamah-Johor-Bahru.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 28 OKT: Seorang bekas ejen pengurusan pangsapuri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 23 pertuduhan menerima rasuah daripada kontraktor dengan jumlah keseluruhan RM9,600 antara Mei 2017 hingga September 2019.

Tay Choon Siew, 68 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menerima suapan RM400 dengan transaksi sebanyak 22 kali dan RM800 dengan sekali transaksi ke dalam akaun miliknya daripada seorang kontraktor sebagai dorongan mencadangkan syarikat milik kontraktor terbabit mendapatkan kerja-kerja pembersihan dan landskap di badan pengurusan bersama sebuah pangsapuri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru di sini antara 3 Mei 2017 hingga 3 September 2019.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Fauzi, manakala tertuduh diwakili Datin S Freda.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan semasa prosiding, Nur Mahirah mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 selain melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam S Freda yang mewakili tertuduh, bagaimanapun merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan anak guamnya menganggur dan tiada pendapatan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 29 November depan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top