JOHOR BAHRU, 9 NOV: Bekalan keperluan semasa di negeri ini mencukupi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini, namun, tiada jaminan bahawa peningkatan harga tidak akan berlaku di pasaran menjelang sambutan Deepavali.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor Dr Chong Fat Full berkata atas dasar itu, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2020 dilaksanakan bermula hari ini hingga 17 Dis.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengenal pasti 20 jenis barang untuk ditentukan harga maksimum bagi pelaksanaan SHMMP antaranya ayam, telur ayam, daging kambing, kelapa, kelapa parut, timun dan kacang panjang.
“Kesemua ini mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan. Oleh itu, kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalan di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pengguna juga digalakkan membeli barang keperluan dalam talian menerusi Program Jualan Makmur Johor (JMJ), iaitu program kerjasama antara kerajaan negeri Johor dengan syarikat Shopee yang memberi peluang kepada masyarakat membeli dengan harga yang rendah dan berpatutan.
Pengguna di negeri ini juga boleh mengemukakan aduan berkaitan isu harga sepanjang PKPB dan SHMMP Deepavali 2020, di talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), talian 1 800 886 800, aduan WhatsApp KPDNHEP di talian 019-279 4317, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau hadir ke mana-mana pejabat cawangan KPDNHEP di seluruh negeri, katanya.
Bernama