BM | EN | 中文

Bekalan asas di dua kawasan PKPD di Simpang Renggam akan dibekalkan – MB Johor

Hasni_Mohammad.jpg

JOHOR BAHRU, 27 MAC: Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan asas seperti makanan akan dibekalkan kepada kesemua 3,570 penduduk yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Simpang Renggam.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, bekalan itu akan disampaikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

Katanya, kerajaan negeri bersetuju dengan pelaksanaan langkah berkenaan ekoran kawasan terbabit mencatat sebanyak 61 kes Covid-19 (koronavirus).

“Pelaksanaan PKPD juga akan membolehkan pihak berwajib membuat aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah bagi membendung Covid-19.

“Saya memberi jaminan makanan asas mencukupi akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh JKM sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengambil keputusan melaksanakan PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam bermula hari ini hingga 9 April.

Pelaksanaan PKPD itu membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga yang menetap di dua kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Hasni turut menyeru masyarakat di kawasan berkenaan supaya bertenang dan mematuhi semua arahan sekali gus memberi kerjasama kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top