KOTA TINGGI, 9 DIS : Beberapa kawasan di sekitar bandar serta jalan-jalan utama di daerah ini dinaiki air susulan hujan lebat sejak pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Johor dalam kenyataannya memaklumkan daerah berkenaan dilanda hujan lebat bermula jam 9.30 pagi.

Beberapa kawasan di sekitar bandar dalam daerah ini serta jalan-jalan utama dilanda banjir susulan hujan lebat sejak pagi tadi
“Kesan dari kejadian tersebut telah menyebabkan beberapa tempat serta jalan-jalan utama lain telah mengalami banjir.
“Lokasi yang telah dilanda banjir adalah Pekan Kota Tinggi dimana air naik setinggi 0.2 meter dan KM 6, Jalan Kota Tinggi – Mawai air naik 0.5 meter.
“Susulan itu, laluan utama terpaksa ditutup bagi kenderaan ringan sahaja dan tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dengan pemindahan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, laluan Arked Mara ke Jalan Tun Sri Lanang tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
“Laluan berkenaan disahkan telah ditutup oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),”katanya.
Terdahulu, tular di Facebook rakaman gambar dan video keadaan jalan di beberapa kawasan di daerah ini yang dinaiki ar.
Antaranya status dimuatnaik di Facebook Orang Kota – Tinggi memaklumkan Jalan Bukit Samsu berhampiran Ladang LGM terdapat sebuah kereta hanyut dan sebuah van terkandas.
JohorKini