BM | EN | 中文

Beberapa lokaliti di Johor, Sabah dan Sarawak dikenakan PKPD

SJR-sekatan-jalan-raya-pkpb-pkpd.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Beberapa lokaliti di Johor, Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Rabu ini hingga 29 Jun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata di Johor, kawasan yang dikenakan PKPD ialah asrama pekerja warga asing, Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak, selepas 128 individu disahkan positif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi hasil saringan yang dilakukan terhadap 237 penghuni.

“Di Sarawak pula, dua lokaliti di Bukit Dinding, Mukah terlibat iaitu Rumah Panjang Alat anak Mukan dan Mukah Palm Oil Mill.

Advertisement

“Perintah PKPD itu dikenakan setelah 31 kes positif dikesan di Rumah Panjang Alat anak Mukan hasil 70 ujian saringan yang dilakukan, manakala di Mukah Palm Oil Mill pula, 10 daripada 14 individu yang disaring didapati positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), PKPD dilaksanakan di kawasan itu bagi tempoh berkenaan bagi menyekat pergerakan dan penularan jangkitan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata PKPD turut dilaksanakan di empat lokaliti di Sabah iaitu Kampung Sundang Laut di Sandakan; Country Heights Apartment dan Vista Minintod Apartment di Penampang dan Kampung Skim Cocos di Kunak dalam tempoh yang sama.

Advertisement

“PKPD Kampung Sundang Laut di Sandakan dilaksanakan selepas KKM mengesan 10 kes positif daripada 18 ujian saringan yang dilakukan. Saringan komuniti perlu dijalankan segera untuk mengesan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin.

“Sementara itu di Country Heights Apartment pula, 18 kes positif dikesan manakala di Vista Minintod Apartment seramai 14 individu dikesan dijangkiti virus itu dan is merupakan peningkatan kes yang ketara dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Bagi Kampung Skim Cocos di Kunak, Ismail Sabri berkata terdapat 10 kes positif telah direkodkan daripada 24 ujian saringan yang dijalankan.

Advertisement

Dalam pada itu, PKPD di 11 Rumah Panjang dan SK Stalon, Tanjung Manis, Mukah di Sarawak yang dijadual berakhir esok, dilanjutkan hingga 29 Jun berikutan pemantauan yang dilakukan KKM mendapati, kes masih menular dalam kalangan penduduk selain terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.

Menurut Ismail Sabri, dalam tempoh itu KKM telah melakukan 177 ujian saringan dan 90 daripadanya dilaporkan positif.

Selain itu PKPD di Felda Trolak Utara, Sungkai di Perak yang dijadualkan tamat esok, juga dilanjutkan hingga 22 Jun setelah 59 kes positif dikesan hasil 2,493 ujian saringan yang dilakukan selain masih banyak sampel ujian belum mendapat keputusan.

Advertisement

Sementara itu, beliau berkata PKPD di 28 mukim Kota Setar di Kedah dan Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut di Pahang ditamatkan esok (11.59 malam) seperti dijadualkan, manakala PKPD Rumah Panjang Wun anak Ering, Tanjung Manis, Mukah dan Kampung Bunut, Mukah di Sarawak juga ditamatkan esok berbanding 16 Jun sebelum ini.

“PKPD di Bandar Bentong di Pahang pula ditamatkan malam ini (11.59 malam) Iebih awal daripada dijadualkan iaitu 19 Jun selepas KKM mendapati berlaku penurunan kes dan kiuster juga terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” katanya.

Mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP semalam, Ismail Sabri berkata seramai 958 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP, dengan 910 daripadanya dikompaun, 47 direman manakala seorang dijamin.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top