BM | EN | 中文

Beberapa kawasan di Johor Bahru dan Kota Tinggi kembali banjir

poster-banjir.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 10 JAN: Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dan Kota Tinggi kembali dinaiki air, seminggu selepas banjir melanda negeri ini Sabtu lepas.

Tinjauan  di beberapa kawasan di sini termasuk Kampung Laut Batu 10 dan Kampung Paya, yang teruk dilanda banjir minggu lepas, mendapati semua penduduk kampung itu telah berpindah dari kediaman masing-masing sama ada ke rumah keluarga ataupun ke pusat pemindahan banjir.

Malik Yahya, penduduk di Kampung Paya, Bukit Mutiara di sini, berkata dia masih mengemas rumahnya yang teruk dilanda banjir ketika air didapati mulai naik pagi tadi.

Advertisement

“Air mulai naik sejak 9 pagi ekoran hujan lebat berterusan sejak malam tadi. Bila nampak air mulai naik, saya selamatkan dokumen penting dahulu,” kata bapa anak tiga itu  ketika ditemui di Kampung Paya, di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Khadijah 30-an pula berkata: “Kami tengah berkemas-kemas, basuh baju sebab banjir, tiba-tiba jadi balik. Sedihlah tapi nak buat macam mana.”

Setakat 4 petang ini, mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat kepada 1,251 orang daripada 382 keluarga berbanding 479 orang daripada 128 keluarga yang direkodkan pada 8 pagi tadi dengan daerah yang terjejas kini ialah Kota Tinggi, Johor Bahru, Mersing dan Segamat.

Advertisement

Sementara itu di Kota Tinggi, rata-rata penduduk dan peniaga di pusat bandar ini mula mengemas semula dan meletakkan barangan berharga mereka di tempat selamat kerana bimbang gelombang kedua banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak pagi tadi.

Tinjauan di Jambatan Kota Tinggi mendapati kelajuan air sungai sangat deras dan berada di paras yang tinggi dengan hujan lebat, dan pihak bomba serta lain-lain agensi juga dilihat melakukan rondaan di sekitar jambatan itu serta taman-taman perumahan dan kampung berdekatan.

Penduduk di Taman Kemang, Afizah Yunos, 50, berkata semua barang yang masih selamat seperti perkakas elektrik diletakkan semula di tingkat dua rumahnya itu.

Advertisement

“Kami hanya mampu berdoa jangan ada gelombang kedua kerana banjir kali ini memang tidak dapat dijangka, air naik terlalu cepat,” katanya yang baru tiga hari kembali ke rumah selepas banjir Sabtu lepas.

Peniaga kedai makan, Radin Haslinah Radin Othman, 53, yang baru berniaga semula hari ini selepas kedainya ditenggelami banjir Sabtu lepas, berkata kali ini dia melakukan persediaan awal dan akan terus beredar membawa bahan mentah dan barangan berharga sekiranya air mula memasuki kedai.

“Kalau hujan lebat dan berterusan begini saya akan terus bawa balik barang-barang di kedai sebab sebelum ini saya tidak sempat selamatkan barang terutama bahan mentah yang baru dibeli,” katanya.

Advertisement

Seorang penduduk di Kampung Laut, Batu 10, Skudai, Noran Idris, 69, pula berkata sampan yang biasanya digunakan untuk memancing, kini menjadi ‘pengangkutan’ alternatif untuk memindahkan semua barangannya apabila kediamannya sekali lagi terjejas banjir.

Beliau berkata perahu itu yang selalunya digunakan untuk memancing ikan dan udang di Sungai Skudai di belakang rumahnya, merupakan penyelamat apabila paras air banjir naik dengan cepatnya awal pagi tadi.

“Sepatutnya hari ini dah boleh masuk balik, saya pun tengah kemas rumah, tak sempat tengok barangan elektrik yang disimpan di stor,” katanya kepada Bernama ketika ditemui berhampiran rumahnya di kampung itu, di sini, hari ini.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top