BM | EN | 中文

Beberapa kawasan di beberapa negeri termasuk Johor dikenakan PKPD

perintah-kawalan-pergerakan-diperketatkan-PKPD.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Beberapa kawasan termasuk sebuah kampung di Tawau, Sabah; dua asrama pekerja di Kluang, Johor; dan sebuah kampung serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur; dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 23 Mei hingga 5 Jun.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya hari ini berkata, PKPD di Kampung Pagar Sungai Imam, Tawau; Asrama Pekerja Kilang Oceanic Fabric Mill dan Asrama Pekerja Kilang Purnabina di Kluang; serta Kampung Batu Muda Tambahan dan PPR Kampung Limau, Kuala Lumpur; dilaksanakan, setelah Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes di lokaliti terlibat, dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 35 ujian saringan di Kampung Pagar Sungai Imam di Tawau, dan 24 daripadanya disahkan positif COVID-19,” katanya.

Advertisement

Menurut Ismail Sabri, KKM telah melaksanakan 33 ujian saringan di asrama pekerja kilang Oceanic Fabric Mill, dan daripada jumlah itu 25 individu didapati positif COVID-19.

“Sebanyak 31 kes positif direkodkan di asrama pekerja kilang Purnabina di Kluang hasil daripada 99 ujian saringan,” katanya.

Beliau berkata di Kuala Lumpur, 76 kes positif direkodkan di Kampung Batu Muda Tambahan, manakala di PPR Kampung Limau sebanyak 59 penduduk disahkan positif COVID-19.

Advertisement

Sementara itu, katanya PKPD di tiga perkampungan dalam Mukim Bunut Susu di Pasir Mas, Kelantan iaitu Kampung Paya Ular, Kampung Bechah Palas dan Kampung Tualang, yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan mulai 23 Mei hingga 5 Jun.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini KKM mendapati masih berlaku penularan serta terdapat kes baharu dilaporkan di ketiga-tiga lokaliti tersebut.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, beliau berkata sebanyak 550 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP, di mana 532 individu dikompaun, 17 direman manakala seorang lagi dijamin.

Advertisement

Kesalahan tertinggi direkodkan ialah gagal merekod butiran did atau mendaftar ketika masuk premis iaitu 193 kes, diikuti tidak memakai pelitup muka (122 kes), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (72 kes), tiada penjarakan fizikal (57 kes), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (empat kes), mengadakan rumah terbuka (satu kes) dan lain-lain kesalahan (101 kes).

Ismail Sabri juga berkata, dalam usaha membendung penularan COVID-19 ketika ini orang ramai tidak boleh mengharapkan petugas barisan hadapan semata-mata, jika tiada sebarang usaha dilakukan atau ditanam dalam diri seseorang.

“Pentingnya kita memupuk kesedaran mengenai COVID-19 kerana pada masa yang sama, kita sebenarnya membantu pasukan barisan hadapan untuk membendung pandemik ini,” katanya.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top