BM | EN | 中文

“BEBAS BERSUARA, NAMUN SECARA BERHEMAH”

gmbr-fail-dzulkefly-ahmad.jpg

ISKANDAR PUTERI, 28 NOV: Kerajaan Pakatan Harapan komited dalam usaha menjamin kebebasan bersuara rakyat Malaysia berdasarkan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad.

Namun katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara yang menjurus kepada polemik perkauman, agama dan Institusi Beraja.

“Kerajaan berpendapat bahawa kebebasan untuk membincangkan perkara-perkara atau berita secara terbuka dan telus di media sosial perlu dikekalkan.

“Tetapi ia harus dibuat dengan cara yang berhemah dan tidak mencetuskan sebarang masalah sosial ataupun menjejaskan keselamatan negara.

“Usaha ini bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, tetapi untuk mengekalkan kesopanan dan mengelakkan pandangan berbaur hasutan serta sensitif yang boleh memberi kesan terhadap keselamatan negara,” katanya..

Justeru itu, beliau berkata, kementerian berkenaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama pihak polis tidak akan berkompromi dan sentiasa komited memantau sebarang penyalahgunaan media sosial.

Dalam pada itu, tambah Dzulkefly, satu jawatankuasa khas yang dinamakan jawatankuasa jenayah siber PDRM-MCMC telah ditubuhkan bertujuan untuk memerangi ancaman jenayah siber secara lebih strategik dan tersusun.

Jawatankuasa itu dianggotai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM dan SKMM bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan lebih pantas dan bersepadu ke atas sebarang perlakuan jenayah siber, terutamanya melibatkan isu-isu sensitif seperti 3R (race, religion, royalty).

Tambah Dzulkefly, jawatankuasa itu juga akan menangani jenayah siber termasuk ‘Macau scam’, perjudian atas talian, pencurian maklumat, pengubahsuaian program atau data komputer dan penggodaman.

Terdahulu, Dzulkefly menjawab soalan Dr Chong Fat Full (PH-Pemanis) berhubung kekeliruan ungkapan kebencian (hate speech) dengan kebebasan bersuara (free speech) serta tindakan kerajaan agi memastikan tren ini tidak menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top